JTS menafikan dakwaan Ali Biju
KUCHING : Jabatan Tanah dan Survei (JTS) semalam ,enafikan dakwaan yang dibuat oleh Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Ali Biju mengenai rizab komuniti Bumiputera baru-baru ini.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, JTS menegaskan hak ke atas tanah yang diwartakan sebagai rizab komuniti Bumiputera ditadbir dan dikawal oleh sistem perundangan peribadi Bumiputera dalam masyarakat terbabit dan tidak seperti apa yang didakwa oleh Ali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian.
Ini bermakna perolehan, penggunaan, pemindahan atau penyerahan hak dan keistimewaan ke atas tanah, bangunan atau sebarang struktur di atas tanah berkenaan akan dikawal oleh undang-undang adat masyarakat Bumiputera yang menikmati faedah daripada rizab komuniti Bumiputera.
“Tanah dalam Rizab Komuniti Bumiputera tidak dipegang oleh penduduk tempatan sebagai amanah bagi kerajaan seperti yang didakwa oleh YB Ali Biju.
“Masyarakat Bumiputera yang memiliki Rizab Komuniti Bumiputera ada kuasa ke atas tanah mereka selain dapat mengesan dan menghalang sebarang pencerobohan haram ke atas tanah mereka.
“Ini kerana Warta akan menggambarkan dengan jelas tentang Rizab Komuniti Bumiputera yang diisytiharkan dan merujuk kepada pelan rasmi untuk menentukan sempadan sebenar,” demikian menurut kenyataan tersebut.
Sabtu lepas, Ali dipetik sebagai berkata penyukatan perimeter dan deklarasi bagi tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak sebagai rizab komuniti Bumiputera akan menurun taraf status NCR.
ADUN Krian itu mendakwa, apabila notis dikeluarkan di bawah Seksyen 6, surat tanah akan dikeluarkan di bawah nama komuniti berkenaan, bukan pemilik tanah itu dipegang menrusi amanah bagi kerajaan oleh masyarakat terbabit.
Menurut JTS, deklarasi di bawah Seksyen 6 adalah sebahagian daripada pendekatan dua langkah dengan dua matlamat di bawah Inisiatif NCR Baru sekarang yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada Jun lepas untuk terus mengiktiraf hak adat Bumiputera ke atas tanah mereka dan menjaga keselmatan pemilikian tanah Bumiputera.
(Sumber : Utusan Borneo, 30 Ogos 2011)