Operasi sukat tanah NCR berjalan lancar
HULU BARAM, Sabtu – Operasi menyukat tanah di bawah Inisiatif Baru Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) berjalan lancer walaupun ada pihak melempar tuduhan palsu mengatakan ia cubaan merampas tanah rakyat selain dibayangi perbalahan mengenai sempadan antara pemilik.
Pengawai Tanah, Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Bahagian Miri, Mohamad Asri Haji Jaya berkata, malah tugas pegawai JTS yang terbabit dengan operasi menjadi lebih mudah apabila mendapat kerjasama daripada penduduk kampung.
“Hampir semua penduduk, terutama pemilik tanah NCR hadir di dialog Inisiatif Baru NCR yang biasanya diadakan terlebih dahulu sebelum operasi menyukat tanah dilakukan,” kata Mohamad Asri selepas operasi menyukat tanah NCR di Long Naa’ha.
Asri menjelaskan, dua lagi kawasan yang bakal disukat membabitkan tanah NCR di Lio Matoh dan Sungai Patah yang terletak di Batang Baram.
“Ini merupakan dua lagi kawasan yang akan disukat dalam minggu ini dan melalui dialog yang diadakan awal minggu ini, kita yakin ia akan berjalan lancer kerana semua penduduk yang hadir member kerjasama padu,” katanya.
Menurutnya, Lio Matoh telah dipohon untuk penyukatan oleh penduduk Kenyah/Nyurek dan mempunyai keluasan 1,095 hektar yang dimiliki oleh kira-kira 1,187 penduduk.
Sementara Sungai Patah, yang dihuni oleh etnik Kenyah pula mempunyai tanah NCR seluas 9,346 hektar ynag dimiliki oleh 1,455 orang penduduk.
Jabatan akan sentiasa berbincang dan mendapatkan pandangan daripada komuniti setempat dalam proses pelaksanaan Inisiatif Baru NCR.
Komunikasi dari peringkat bawah ke atas amat ditekankan agar masyarakat setempat mempunyai peluang mengutarakan pandangan dan pendapat mereka.
Sebarang aduan dan permasalahan berhubung Inisiatif Baru NCR bolehlah dialurkan kepada JTS Miri yang sentiasa bekerjasama rapat dengan ketua masyarakat bagi mencari penyelesaian kepada sebrang isu berkaitan Inisiatif Baru NCR.
Dalam memastikan Inisiatif Baru NCR ini dapat dilaksanakan dengan jayanya, semua pemilik tanah perlu memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak JTS apabila kerja-kerja penyukatan dijalankan.
Salah satu cara ialah dengan membantu juru ukur Jabatan dalam mengenalpasti sempadan tanah NCR mereka. Ini akan membolehkan kerja-kerja penyukatan disiapkan dengan kadar segera.
Tanah yang telah disukat akan diwartakan sebagai Rizab Gunasama Bumiputera di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri. Warta Seksyen 6 akan disimpan di JTS serta pejabat Daerah dan sesalinan diberikan kepada ketua masyarakat setempat sebagai bukti yang kawasan itu telah disukat dan telah menjadi hak milik sah kepada komuniti.
Hak ke atas tanah NCR yang diwarta ditadbur oleh undang-undang adat kaum masing-masing. Dalam erti kata lain, perkara-perkara yang berkaitan dengan perolehan ,pindah milik dan tramisi hak dan keistimewa ke atas tanah, bangunan atau struktur yang didirikan di dalamnya adalah tertakluk kepada undang-undang adat kaum tersebut. Selain daripada itu, pemilik tanah akan mengetahui sekiranya wujud pencerobohan ke atas tanah mereka kerana sempadan tanah akan jelas diketahui selepas penyukatan diselesaikan.
Penyukatan tanah NCR ini merupakan proses ynag berterusan dan akan diteruskan sehingga ke penghujung Rancangan Malaysia Kesepuluh iaitu sehingga akhir tahun 2015. Kawasan-kawasan lain di MIri bakal dikenal pasti untuk penyukatan di bawah Inisiatif Baru NCR.
Matlamat utama Inisiatif Baru ini adalah untuk memastikan semua tanah NCR dalam negeri Sarawak disukat dan akhirnya dikeluarkan surat hakmilik bertujuan memberi jaminan pemilikan tanah NCR dan seterusnya melindungi hak pemilik tanah NCR di negeri ini.
(Sumber: Utusan Sarawak, 10 Julai 2011)
