Bersabar tunggu tanah disukat :Pemilik tanah NCR diingat bersabar jika sukatan perimeter belum dijalankan
Oleh Sandy Mark Luna
BALAI RINGIN: Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri James Masing mengingatkan pemilik tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di sarawak agar bersabar sekiranya sukatan perimeter belum dijalankan ke atas tanah mereka.
Menurutnya yang juga presiden PRS, kerja menjalankan sukatan perimeter memang dijangka akan mencetus kontroversi namun matlamatnya adalah untuk menentukan sempadan antara tanah NCR dan tanah kerajaan.
“Justeru, sekiranya kerja (sukatan perimeter) tersebu belum dilaksanakan dengan jayanya, saya minta anda bersabar kerana tujuan kerajaan bukan untuk merompak tanah, tetapi menyelesaikannya dengan cara yang baik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis kesyukuran kemenangan BN di Balai Ringin dan sambutan Gawai Dayak, di dewan serba guna Balai Ringin, di sini, pada malam Ahad.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin Snowdan Lawan, Menteri Muda Pelancongan dan Warisan merangkap ADUN Bukit Begunan Mong Dagang.
ADUN Baleh itu berkata, pembangkang sentiasa mencari peluang utnuk menghasut pemilik tanah dengan mengatakan tanah mereka tidak disukat kerana kerajaan mahu merampasnya.
“Isu tersebut amat besar di kawasan saya. Sebelum pilihan raya yang lalu, kerja sukatan perimeter ada dijalankan tetapi disebabkan bajet tidak mencukupi, jadi kerja tersebut tidak dapat dijalankan secara menyeluruh.
“Jadi, pihak pembangkang pun mengambil kesempatan dengan mendakwa ‘sukatan perimeter itu tidak diteruskan, kerana tanah yang tidak disukat itu diambil James Masing’ dan ini tidak benar,” katanya dengan kesal.
Dalam pada itu, Masing mahu semua wakil rakyat muda dalam partinya agar mendalami cara menjaga rakyat.
“Paling penting untuk menjadi seorang pemimpin, anda mesti tahu apa yang anda mahu dan ke mana anda mahu pergi.
“Apabila menjalankan sesuatu projek pembangunan, soalan yang mesti ditanya adalah apa yang baik untuk rakyat dan jangan sesekali tanya apa manfaatnya untuk diri sendiri, sekiranya ingin terus relevan,” katanya.
Sementara itu, Snowdan memberitahu, beliau akan memperkasakan strategi politiknya pada penggal keduanya ini.
Menurutnya, walaupun beliau berjaya mempertahankan kerusinya pada pilihan raya negeri yang lalu, namun beliau tidak boleh memandang rendah kepada pihak pembangkang.
“Daripada analisis politik, scenario sudah jauh berubah kerana mereka membawa strategi dari Semenanjung Malaysia dan saya menjangkakan kita dalam masa 10 hingga 15 tahun akan mengalami cabaran lebih besar,” katanya.
Bahkan sekarang, katanya pihak pembangkang sudah mula membuat persiapan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 dan oleh itu, beliau menyeru semua jenteranya bersama membantu mengukuhkan BN.
“Dalam penggal kedua (saya ini), strategi saya lain sedikit. Keadaan politik sekarang sudah berubah dan tidak macam dulu lagi.
“Justeru, kita mesti berfikiran jauh 10 hingga 15 tahun ke hadapan, strategi harus diperkasakan,” katanya.
(Sumber: Utusan Borneo 14 June 2011)