Tiga kawasan NCR diwarta Rezab Komunal Bumiputera
SARATOK, Selasa - Keresahan kira-kira 700 keluarga dan kawasan Entebu/Selambong/Muton dekat sini terhadap status tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) akhirnya menemui penyelesaian.
Ini berikutan Jabatan Tanah Dan Survei (JTS) Betong mengumumkan status tanah itu dilulus dan diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera di bawah Seksyen 8 Kanun Tanah Negeri.
Penguasa Tanah dan Survei Betong, Anthony Aboi berkata tanah NCR di kawasan Entebu/ Selambong/Muton yang berkeluasan lebih kurang 1,024.8 hektar adalah antara kawasan yang diluluskan dan telah diwartakan sebagai Rezab Komunal Bumiputera di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah.
Menurut beliau, sepertimana janji hak kerajaan melalui inisiatif Baharu NCR yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa lawatan beliau ke bahagian Miri 2010 lalu, mencerminkan keikhlasan kerajaan Barisan Nasional (BN) memenuhi janjinya kepada rakyat.
Kerajaan sentiasa menepati janji kepada rakyat dan akan memastikan semua Adat Hak Bumiputera (NCR) di sini disukat dan dikeluarkan surat hak milik bagi tujuan memberi jaminan pemilikan tanah NCR dan seterusnya melindungi hak pemilik tanah NCR di bawah Inisiatif Baharu NCR.
“Saya gembira kerana sebahagian besar daripada penduduk di tiga kawasan itu hadir dalam dialog pada hari ini,” katanya semasa menghadiri dialog Inisiatif Baharu NCR di Rumah Anau, Entebu Atas di sini semalam.
Jelas Anthony, bagi merealisasikan impian lebih kurang 700 penduduk di tiga kawasan untuk mendapatkan surat hak milik tanah mereka. JTS Betong menganjurkan satu majlis dialog Lapangan bersama-sama dengan pemilik tanah NCR kawasan berkenaan.
Menurut Anthony, JTS Betong akan mula menjalankan kerja-kerja pengukuran tanah NCR kawasan Entebu/Selambong/Muton untuk dikeluarkan surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri bemula pada Julai depan.
Beliau menggesa kepada pemilik tanah NCR dalam kawasan Entebu/Selambong/Muton yang telah diwarta agar dapat memberi kerjasama kepada JTS Betong dalam menentukan sempadan tanah masing-masing.
“Sekiranya pemilik tanah memberi kerjasama penuh dalam kerja-kerja penyukatan tanah, saya yakin hak milik tanah mereka akan dapat dikeluarkan dengan mudah,” ujarnya.
Sebanyak 21 kawasan telahpun dilulus dan diwarta sebagai Rezab Komunal Bumiputera merangkumi keluasan keseluruhan lebih kurang 69,000 hektar keseluruhan.
Dalam pada itu, Tuai Rumah Anau Chula menyifatkan pengiktirafan daripada kerajaan ke atas pemilikan tuntutan tanah komunal untuk komuniti Iban dari kawasan itu.
Ia adalah usaha pihak kerajaan dan JTS memberi nasib rakyat dan melahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri kerana akhirnya menunaikan impian mereka untuk melihat tanah NCR disukat.
Menurut Anau, dengan pengumuman daripada JTS Betong akan mula menjalankan kerja-kerja pengukuran tanah NCR pada tiga kawasan untuk dikeluarkan surat hakmilik tanah di bawah seksyen 18 Kanun Tanah Negeri bermula pada Julai depan telah memberi kelegaan kepada seramai 700 pemilik tanah yang telah mereka usahakan sebelum ini telah diceroboh oleh pihak Tabung Haji Plantation (THP).
“Sebelum ini, tanah NCR diKawasan Entebu/Selambong/Muton yang telah dibangun dan diceroboh oleh pihak THP kini dapat dikembalikan semula kepada kami dan kami l menarik nafas lega dengan pengumuman tersebut,” katanya.
(Sumber: Utusan Sarawak, 25 Jun 2014)