Pengukuran tanah melalui Inisiatif Baharu NCR masuki langkah
BETONG: Pengukuran Hak Adat Bumiputera (NCR) yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada tahun 2010 di Miri melalui Inisiatif Baharu NCR kini telah memasuki Iangkah kedua.
Ini adalah bukti kerajaan benar-benar hendak membantu rakyat bagi mencari penyelesaian terhadap isu-isu tanah NCR rakyat. Pada langkah pertama Inisiatif Baharu NCR, tanah komunal rakyat di luar Bandar disukat perimeter terlebih dahulu yang kemudiannya diwartakan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri sebagai Rizab Guna Sama Bumiputera.
Dengan pewartaan tersebut, secara tidak langsung tanah NCR yang mereka pohon sudah sah menjadi milik komuniti tersebut dan tidak dapat dipertikaikan lagi.
Sebagaimana janji kerajaan, pengukuran perimeter tanah NCR pada langkah pertama bermula pada 2010 hingga 2015.
Bagaimanapun, kini kerajaan telah mengutamakan rakyat dengan menjalankan kerja-kerja pengukuran individu tanah NCR dalam kawasan yang telah diwartakan.
Bagi merealisasikan impian tersebut, satu Majlis Pelancaran Rasmi Pengukuran Individu Tanah NCR Peringkat Negeri Sarawak telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang di Rumah Wilson Bakir, Penom, Ulu Paku, Spaoh baru-baru ini.
Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Ahli Parlimen Betong Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban Robert Lawson Chuat, ADUN Batang Ai Malcolm Mussen Lamoh, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Ose Murang, Pengarah Tanah dan Survei Datu Sajeli Kipli dan Residen Bahagian Betong Datu Romie Sigan Daniel.
Menurut Sajeli, di Betong sahaja sebanyak 21 kawasan tanah NCR telah diwartakan di bawah Seksyen 6 merangkumi keluasan lebih kurang 69,000 hektar.
Dalam pada itu, hanya tiga kawasan iaitu Ulu Paku Spaoh merangkumi keluasan lebih kurang 4,142 hektar, Tanjung Sebekut Spaoh merangkumi keluasan lebih kurang 195 hektar dan Entebu/Selambong/Muton Saratok merangkumi keluasan lebih kurang 1,026 hektar telah dilulus untuk disukat individu di bawah langkah kedua Inisiatif Baharu NCR.
Dibawah langkah ini, tanah NCR mereka akan disukat tertakluk kepada tuntutan masing-masing dan dikeluarkan dengan Surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri. Di bawah Seksyen 18, pemilik tanah NCR tidak perlu menjelaskan apa-apa bayaran dan tempoh pemilikan tanah tersebut adalah kekal (In Perpetuity).
Tambahnya, Jabatan Tanah dan Survei (JTS) sangat memerlukan kerjasama daripada semua pemilik tanah komunal agar kerja-kerja pengukuran tanah pada langkah kedua Inisiatif Baharu NCR dan seterusnya pengeluaran surat hak milik dapat berjalan sebagaimana dirancang.
(Sumber: Utusan Borneo, 4 Jun 2014)
