Jaminan Pemilik NCR

 

Jaminan pemilik NCR


Tiga kawasan di Bahagian Betong disukat di bawah Inisiatif Baharu NCR

BETONG, Selasa Tiga kawasan di Bahagian Betong diluluskan bagi pengukuran individu di bawah lnisiatif Baharu Penyukatan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).

Kawasan tanah Rezab Komunal Bumiputera Ulu Paku, Spaoh berkeluasan lebih kurang 4,142 hektar telah diwarta melalui Swk L.N.6/2012 di bawah seksyen 6 Kanun Tanah Negeri.

Selain daripada Ulu Paku Spaoh, dua kawasan lain yang turut akan disukat adalah Tanjung Sebekut di Spaoh yang merangkumi keluasan lebih kurang 195,4 hektar dan Entebu/Selambong/Muton di Saratok merangkumi keluasan lebih kurang 1,025 hektar. Di Betong, sebanyak 21 kawasan telah dilulus dan diwarta sebagai Rezab Komunal Bumiputera merangkumi keluasan keseluruhan lebih kurang 69,000 hektar.

Majils pelancaran Pengukuran individu Tanah Komunal ( NCR ) peringkat Negeri Sarawak di Rumah Wilson Bakir, Penom,Ulu Paku, Spaoh tersebut disempurnakan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu hari ini.

Menurut Jabu, dengan pelancaran tersebut telah bermulanya peringkat kedua program Inisiatif Baharu Penyukatan Tanah NCR di negeri ini yang bertujuan memberi jaminan hak milik tanah kepada pemilik tanah NCR.

“Sebaik sahaja kerja-kerja pengukuran individu di kawasan berkaitan selesai, geran tanah akan dikeluarkan di bawah Seksyen 18, Kanun Tanah Negeri.

“Dengan demikian tanah tersebut akan menjadi milik mereka selamanya tanpa dikenakan sebarang cukai,” katanya. Sementara itu kerja-kerja pengukuran perimeter atau ukur keliling masih lagi berjalan di seluruh negeri. Jabu menggesa agar penduduk memberikan kerjasama kepada Jabatan Tanah dan Survei (JTS) dalam kerja-kerja penyukatan tanah mereka itu nanti.

Beliau berkata, penyukatan tanah di bawah Inisiatif Baharu Tanah NCR adalah penting bagi member jaminan hak milik berkekalan kepada para pemilik tanah. Justeru, katanya, tiada orang lain yang boleh mempersoalkan atau membuat sebarang tuntutan terhadap tanah yang telah diwartakan kelak.

“Sekiranya pemilik tanah memberi kerjasama penuh dalam kerja-kerja penyukatan tanah, saya yakin hak milik tanah mereka akan dapat dikeluarkan dengan mudah,” ujarnya.

Tambah beliau, inisatif merupakan usaha berterusan kerajaan negeri untuk menambah baik dan memantapkan perkara berkaitan pengurusan dan pentadbiran tanah NCR di negeri ini.

Turut hadir Menteri Perusahaan Perladangan dan Komuditi Malaysia, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar ll, Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan, ADUN Bukit Saban, Robert Lawson Chuat, ADUN N29 Batang Ai, MalcoIm Mussen,Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datu Ose Murang, Pengarah Tanah dan Survei Sarawak, Datu Sajeli Kipli, Residen Bahagian Betong, Datu Romie Sigan Daniel.

(Sumber:  Utusan Sarawak, 28 Mei 2014)

 

 
image Polls
image Announcement