JTS Sukat 376,273 Hektar Tanah NCR Setakat 31 April

 

JTS sukat 376,273 hektar tanah NCR setakat 31 April


KUCHING: Jabatan Tanah dan Survei (JTS) telah rnenyukat kira-kira 376,273 hektar tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di seluruh negeri setakat 31 April 2014.

Penolong Pengarah (Tanah) JTS Abdullah Julaihi berkata daripada jumlah itu 250,836 hektar tanah NCR telah diwartakan, manakala selebihnya masih dalam proses pewartaan.

Bagi pengukuran lot individu inisiatif baharu NCR di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri (KTN), dua buah kampung pertama yang berjaya di bawah pelaksanaannya iaitu Kampung Skuduk dan Kampung Pisa di Padawan, ujar beliau.

Kampung Skuduk yang melibatkan 303 lot dengan keluasan 156.9 hektar telah menerima surat hak milik pada 7 Februari 2012, sementara Kampung Pisa yang membabitkan 101 lot (dengan keluasan 472.6 hektar) menerima surat hak milik pada 16 Februari 2013.

“Kedua-duanya mengambil masa sebulan untuk kerja-kerja pengukuran sebelum diwarta dan diberikan surat hak milik.

“Bukan setakat itu sahaja, pelaksanaan ini akan dilakukan di Kampung Sibuluh dan Kampung Grogo yang dilancarkan hari ini (semalam) serta di Ulu Paku di Betong, yang dilancarkan kelmarin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran pengukuran lot individu dibawah Seksyen 18 KTN melalui inisiatif baharu NCR Kampung Sibuluh dan Kampung Grogo yang disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin Jawong di Dewan Suarah Bau di sini, semalam.

Sementara itu Penguasa JTS Bahagian Kuching, Taib Belal berkata sehingga kini 31 kawasan di Bahagian Kuching telah diluluskan untuk pengukuran NCR.

Daripada itu, 11 kawasan telah diwartakan dan enam daripadanya sudah mendapat surat hak milik, manakala lima masih belum mendapat surat hak milik.

“Daripada 11 kawasan itu juga tujuh daripadanya adalah pengukuran lot individu di bawah inisiatif baharu termasuk di Kampung Grogo dan Kampung Sibuluh ini.

“Kita amat berharap supaya komuniti di kawasan yang mahu menjalankan pengukuran seperti ini dapat mencapai kata sepakat selain menentukan sempadan mereka,” katanya sambil memberitahu ia untuk mempercepatkan proses pengukuran, pewartaan dan seterusnya mengeluarkan surat hak milik tanah.

Kata beliau, jika dilihat dari segi kos kerajaan perlu menanggung RM700 sehingga RM1,000 sehari bagi kerja-kerja pengukuran.

Mengulas lanjut mengenai pengukuran tanah lot individu di kampung Sibuluh Taib berkata, ia melibatkan keluasan 987 hektar tanah NCR dengan kos dianggarkan RM279,000 dalam tempoh 41 hari.

Manakala bagi kampung Grogo pula, ia melibatkan 1,981 hektar tanah NCR dengan kos RM678,000 dalam tempoh 41 hari.

“Bagi kedua-dua kampung ini kerajaan perlu menanggung RM900,000 dengan lebih kurang 2,000 hektar tanah.

“Sehubungan itu, kami amat memerlukan kerjasama komuniti kampung untuk memastikan kerja lancar dan mempercepatkan proses pengukuran bagi mengurangkan kos dan masa,” katanya.

(Sumber:  Utusan Borneo, 28 Mei 2014)

 

 
image Polls
image Announcement