JTS Betong Anjur Majlis Dialog Lapangan Pengukuran Tanah NCR

 

JTS Betong anjur Majlis Dialog Lapangan Pengukuran Tanah NCR


BETONG:  Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Betong sekali lagi mengambil inisiatif menganjurkan Majlis Dialog  Lapangan Pengukuran Tanah NCR bagi  Kawasan Ulu Paku, Spaoh bersama penduduk dari Penom, Lubok Klampu, Meroh dan Nanga baru-baru ini.

Penguasa Tanah dan Survei Betong Anthony Aboi memberitahu, penyukatan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) bukanlah perkara baharu, tetapi diperkenalkan dengan Inisiatif Baharu NCR oleh kerajaan bagi membolehkan pengeluaran surat hak milik tanah dapat diproses dengan mudah, cepat dan tepat.

“Dalam perkara ini kerajaan tidak ada niat hendak merampas tanah rakyat, sebaliknya ingin membantu membangunkan tanah-tanah yang terbiar utnuk kemudahan dan manfaat rakyat luar bandar.

“Justeru, bagi merealisasikan impian ini kerjasama daripada semua pihak, khasnya pemilik-pemilik tanah NCR yang terlibat amatlah diperlukan bagi membolehkan kerajaan menerusi Jabatan Tanah dan Survei mencapai sasarannya menjelang 2025,” katanya.

Memurutnya, kawasan NCR Ulu Paku telah disukat perimeter di bawah Langkah Pertama Inisiatif Baharu NCR merangkumi keluasan lebih kurang 4,142.6 hektar iaitu kawasan Benduru, Matop, Tanjung, Keranggan Pinggai, Samu, Jukun, Spuna, Ng. Bong, Danau, Senunok, Penom, Meroh Klampu, Meroh Paun, Lempaong, Linggit, Udau, Sungai Rian, Engkerbai, Nanga Nanam dan Nanga Jitu, Paku, Spaoh.

Jelasnya lagi, kawasan itu telah diwarta melalui Swk. L.N. 6 bertarikh 12 Februari 2012 sebagi Rezab Komunal Bumiputera ( Pertanian) di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri.

“Sebagai persiapan awal untuk melangkah ke Langkah Kedua Inisiatif Baharu NCR, maka JTS telah mengadakan Majlis Dailog Lapangan bersama-sama pemilik-pemilik tanah NCR dari kawasan tersebut.

“Antara lain tujuannya adalah untuk memaklumkan kepada mereka bahawa kerajaan melalui JTS Betong akan menjalankan kerja-kerja menyukat lot individu dalam kawasan perimeter NCR Ulu Paku yang diwartakan,” jelasnya.

Hadir sama Pegawai Daerah Betong Friday Belik, Pegawai Menguasa Daerah Kecil Spaoh Bujang Ladi, Pegawai Tanah di Kementerian kemajuan Tanah Sarawak Thadius  Ling, Pegawai Tanah di JTS Betong David Laeng dan Betty@Siti Nanggai, Jurukur di JTS Betong Bakeri Samsuddin, Tuai Rumah Wilson Bekir serta penduduk daripada empat rumah panjang.

 (Sumber:  Utusan Borneo, 19 Mei 2014)

 

 
image Polls
image Announcement