Dokumentasikan tanah NCR untuk atasi konflik
SERIAN, Sabtu - Terdapat banyak kes melibatkan konflik antara adik-beradik yang berebut hak tanah adat bumiputera (NCR) Bidayuh direkodkan di Makhamah Bumiputera hari ini masih belum dapat diselesaikan.
Justeru, Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Micheal Manyin Jawong berkata, antara penyelesaian kes berkenaan ialah dengan mendokumentasikan tanah NCR masyarakat Bidayuh.
“Prosedur mendokumentasi tanah NCR ini sama seperti kerja-kerja penyukatan tanah yang dilakukan oleh Jabatan Tanah den Survei (JTS). Bagaimanapun disebabkan tiada agensi berkuasa selain daripada JTS melakukan kerja penyukatan itu, kita dinasihatkan oleh Pengarah JTS untuk menggunakan perkataan dokumentasi,” jelasnya.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Penyertaan Borang Dokumentasi Tanah Adat Bumiputera NCR Persatuan Kebangsaan Bidayuh (DBNA), Fasa II, Daerah Serian di Dewan Masyarakat Serian, hari ini.
Kata Manyin, meskipun demikian, prosedur dokumentasi tersebut menggunakan kaedah yang sama menyukat tanah NCR oleh JTS kerana maklumat dokumentasi tersebut akan diserahkan kepada JTS.
“Jika terdapat individu yang cuba melakukan sesuatu dengan mengeluarkan tanah NCR tersebut daripada senarai, usaha tersebut sia-sia sahaja.
“Ini kerana tanah NCR tersebut masih dapat dijejaki menerusi peta memandangkan semuanya telah didokumentasikan,” tegasnya.
Penasihat DBNA itu menjelaskan, menerusi maklumat dokumentasi tersebut, konflik perebutan tanah NCR dalam kalangan adik-beradik atau saudara-mara dapat diselesaikan.
“Jika terdapat pemilik yang mendakwa tanah tersebut miliknya, dia tidak ada bukti kerana tiada geran tanah daripada JTS meskipun tanah tersebut warisan daripada nenek moyang, keraguan tetap ada,” katanya.
“Tetapi, jika tanah tersebut mempunyai geran, tidak ada keraguan lagi kerana bukti sangat jelas, ujarnya sambil memberitahu tanah NCR yang sudah disukat tidak dikenakan cukai kecuali tanah tersebut dijual kepada orang luar, pihak berkenaan akan mula membayar yuran taksiran tanah.
Kata Manyin, sebelum ini tidak ada masalah melibatkan perebutan tanah dalam keluarga kerana tanah banyak, tetapi bilangan penduduk kecil dan nilai tanah masih rendah kerana tidak asa akses jalan raya.
Tetapi, pada hari ini, katanya, nilai tanah sangat tinggi terutamanya tanah yang berdekatan dengan jalan utama atau mempunyai laluan masuk, sekali gus menyebabkan adik-beradik berebut tanah yang berdekatan dengan jalan raya.
Terdahulu, Manyin menyampaikan 35 sijil penyertaan dan borang dokumentasi NCR Fasa Dua kepada 35 kampung sekitar Daerah Serian. Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan Dokumentasi NCR Serian. Charlie Ungang dan Pengerusi DBNA Serian merangkap Pegawa Daerah Serian, Sinde Muling.
(Sumber: Utusan Sarawak, 6 April 2014)
