530 penduduk diberi tanah percuma
MUKAH: Seramai 530 penduduk membabitkan lima perkampungan di sekitar daerah ini menerima durian runtuh apabila diberikan tanah percuma oleh kerajaan negeri, semalam.
Mereka diberikan surat hak milik Tanah Kampung Tradisi Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri (KTN) di Bahagian Mukah yang tidak dikenakan premium, tidak dikenakan cukai tahunan serta dijanjikan hak pemilikan kekal.
Penduduk kampung yang bertuah membabitkan 153 penduduk dan Kampung Sungai Mo, Kampung Teh (180), Kampung Litong (76) dan masing-masing 74 dan 47 penduduk bagi Kampung Teh Labak dan Kampung Bunut, Mukah.
Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, usaha kerajaan negeri itu sebagai pengiktirafan terhadap perkampungan yang sudah lama wujud di daerah berkenaan.
Katanya, penduduk yang menerima tanah itu bertuah kerana selain terkecuali daripada bayaran premium dan cukai tanah tahunan, mereka tidak perlu membuat pembayaran pengukuran.
“Tempoh pemilikan tanah berkenaan adalah pemilikan kekal dan ia bertujuan memberi jaminan dan keselamatan hak milik kepada pemilik yang sahih di kampung berkenaan.
“Pemberian tanah ini adalah satu sejarah dan ia menunjukkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap rakyat,” katanya pada Majlis Penyampaian Surat Hak Milik Tanah Kampung Tradisi Dan Surat Kelulusan Permohonan Tanah Kerajaan di Dewan Suarah Mesra Mukah, di sini.
Turut hadir, Menteri Kebajikan Wanita dan Pembangunan Keluarga negeri Datuk Fatimah Abdullah, Ahli Parlimen Mukah Datuk Muhammad Leo Abdullah dan Pengarah Jabatan Tanah Dan Survei negeri Datuk Sajeli Kipli.
Dalam pada itu, 151 penduduk dari Kampung Tellian, di sini yang diwakili Penghulu Lai Mayer Gabong turut menerima surat kelulusan permohonan tanah kerajaan untuk tanaman pokok kelapa sawit dengan usaha sama FELCRA.
(Sumber: Harian Metro,14 Mac 2014)
