Ukur NCR Cepat Pembangunan

 

Ukur NCR cepat pembangunan


Beri pilihan bangun sendiri atau dibantu kerajaan

KUCHING - Peruntukan RM50 juta bagi kerja pengukuran tanah Hakmillk Adat Bumiputera (NCR) di negeri ini mampu mempercepatkan pembangunan kawasan luar bandar Sarawak yang ketinggalan dalam banyak aspek infrastruktur.

Menteri Kemajuan Tanah Sarawak, Tan Sri Dr James Jemut Masing, berkata ini kerana pembangunan tersusun hanya dapat dirancang sebaik pemilik tanah NCR berjaya mendapat status hak milik ke atas kawasan mereka.

Selain itu, katanya, ia dapat menyelesaikan masalah pertikaian di antara pemilik tanah dan kerajaan negeri mengenai status tanah berikutan terdapat banyak isu bertindih yang timbul sejak sekian lama.

Sempadan tepat
Peruntukan RM50 juta bagi meneruskan kerja pengukuran perimeter di negeri ini bakal meletakkan sempadan tepat bagi tanah NCR yang dimiliki pemilik dan tanah milik kerajaan bagi mengelak pertikaian jangka panjang.

“Langkah ini seterusnya membolehkan pemilik memilih membangunkan tanah hak milik mereka atau mendapat bantuan kerajaan dalam menentukan apa yang boleh dilakukan di kawasan terbabit,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Pada pembentangan Bajet 2014, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan peruntukan khas RM50 juta kepada Sarawak bagi meneruskan kerja mengukur tanah NCR yang mula dilaksanakan mulai 2010.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan isu tanah NCR diheret ke kancah politik apabila pihak luar termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melemparkan pelbagai tuduhan liar kepada kerajaan sejak dulu lagi.

Tangkis tuduhan NGO       

"Disebabkan itu inisiatif tanah NCR ini penting kerana impaknya besar dan mampu ‘menghapuskan’ tuduhan yang dibuat NGO ke atas kerajaan tanpa menyedari kita sebenarnya yang membantu orang ramai,” katanya.

Sementara itu, Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata projek naik taraf tiga Iapangan terbang di Sarawak iaitu di Miri, Sibu dan Mukah adalah penting bagi perancangan masa depan negeri berikutan ia berada di kawasan Koridor  Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Bandar pintar
“Mukah bakal menjadi bandar pintar, maka sudah masanya sebuah lapangan terbang yang mampu menampung pendaratan pesawat bersaiz besar bagi membawa Iebih ramai pelabur asing untuk menanam modal dalam pelbagai sektor industri di wilayah tengah Sarawak.

Miri pula adalah bandar raya paling penting di wilayah utara negeri ini, yang menjadi pusat tumpuan utama industri petroleum. selain menjadi pintu masuk utama pelabur dan pelancong asing dan KuaIa Lumpur serta seluruh dunia, katanya.

(Sumber:  Berita Harian, 26 Oktober 2013)

 

 
image Polls
image Announcement