Pemilik NCR perlu rebut peluang daripada inisiatif perimeter
KANOWIT: Para pemilik tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) dinasihati supaya tidak leka dengan peluang yang diberikan di bawah inisiatif kajian perimeter NCR untuk mengiktiraf pemilikan tanah.
Menteri Muda Pembangunan Tanah Datuk Gramong Juna berkata mereka perlu merebut peluang daripada manfaat tersebut selagi ia masih dijalankan.
“Kerajaan sebelum ini memperuntukkan RM60 juta bagi inisiatif itu manakala Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta lagi untuk tujuan yang sama pada tahun depan semasa lawatan beliau ke Majlis Hari Gawai di Betong baru-baru ini.
“Justeru, dengan peluang itu kita mesti merebutnya kerana peluang sebegitu tidak akan berulang lagi,” katanya ketika melancarkan Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Unit Lubuk Balung di Rumah Sandai Lamit di Sungai Mapai di sini, petang kelmarin.
Majlis tersebut juga diadakan sempena Majlis Ngiling Bidai di rumah panjang tersebut.
Hadir sama Timbalan Presiden SIDS Datin Catherine Gramong, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Alexander Vincent dan isteri Susan Clement, Pemangku Pegawai Daerah Kanowit Ibrahim Kipli, Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Sibu Peggy Ronin Edin, Setiausaha Politik Ketua Menteri Maurice Giri dan Pemanca Spencer Kudang.
Gramong yang juga ADUN Machan memberitahu, inisiatif itu adalah hasil daripada makmal Bumiputera Sabah/Sarawak yang diketuai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala untuk menyelesaikan isu-isu tanah NCR di bawah Pelan Transformasi Kerajaan (GTP).
Jelasnya, beliau tahu apabila inisiatif itu masih di peringkat perbincangan terdapat banyak andaian bahawa ia akan membuat rakyat kehilangan tanah mereka.
“Ini adalah terutamanva oleh anasir luar yang memanipulasi isu ini untuk mengajak rakyat menentang dasar kerajaan.
“Jangan bimbang kerana kerajaan tidak akan mengambil tanah rakyat.
“Kita perlu tahu bahawa dasar kerajaan adalah untuk memberi manfaat kepada rakyat,” tegasnya.
Dalam pada itu, Gramong turut mengumumkan bahawa geran projek kecil luar bandar (MRP) RM100,000 untuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Sandai dan RM5,000 daripada Majiis Kraf Sarawak untuk SIDS Lubuk Balung.
SIDS Lubuk Baking turut menerima MRP sebanyak RM3,000 daripada Alexander.
(Sumber: Utusan Borneo, 1 Jun 2013)