Penduduk hargai kedatangan Najib ke Rumah Wilson
BETONG: Kedatangan pemimpin nombor satu negara, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke rumah Wilson Begat Bakir, Penom Ulu Layar di sini sememang nya merupakan satu penghargaan kepada penduduk kawasan luar bandar.
Penduduk kampung sekitar bahagian tersebut mula membanjiri kawasan rumah panjang yang mempunyai 21 pintuseawal jam 8.30 pagi dan sanggup berjalan sejauh dua kilometer memandangkan tempat letak kereta tidak mencukupi.
Menurut seorang penghuni rumah panjang tersebut, Dunkong Birai, 70, seperti dijangka kedatangan pemimpin-pemimpin semestinya akan membawa berita baik lebih-lebih lagi kepada masyarakat peribumi Sarawak.
Dalam majlis tersebut, Najib mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta untuk meneruskan kerja sukatan perimeter di lebih 681,000 hektar tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di seluruh Sarawak.
Manakala terdahulu dalam majlis Rumah Terbuka Gawai Dayak pada 2011 di rumah panjang sama, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan untuk menjadikan rumah panjang tersebut sebagai warisan negara.
“Saya berasa amat gembira dengan kedatangan Perdana Menteri hari ini (Ahad) dan kami amat mengalu-alukan kedatangannya,” katanya ketika ditemui Utusan Borneo, kelmarin.
Manakala Nelson Jerangan, 25, memberitahu bahawa majlis pada tahun ini kelihatan lebih meriah memandangkan ramai penduduk dan kampung sekitar turut meluangkan masa ke majlis Ngabang Hari Gawai tersebut.
“Lawatan Perdana Menteri ke sini turut membolehkan beliau melihat sendiri kemajuan yang ada serta kekurangan di kawasan luar bandar.
“Saya yakin beliau akan membuat satu pengumuman yang menggembirakan buat kami penduduk kawasan luar bandar,” katanya.
(Sumber: Utusan Borneo, 11 Jun 2013)
