SUPP lancar Pengisytiharan SUPP
KUCHING, Selasa - Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) terus menghangatkan suasana berkempen dengan melancarkan Pengisytiharan SUPP yang bertunjangkan 10 intipati untuk kesejahteraan rakyat negeri ini, hari ini.
Aspirasi parti itu dalam mengekalkan keamanan, kemajuan dan pembangunan untuk Malaysia khususnya negeri ini akan diteruskan menerusi deklarasi tersebut dengan mengambil kira kepentingan semua rakyat.
Presiden SUPP, Datuk SeriPeter Chin Iah Kui berkata, deklarasi itu merupakan pendirian parti komponen Barisan Nasional (BN) itu dalam PRU13 nanti. “Kami ingin merealisasikan deklarasi ini untuk pengundi yang akan menyokong calon parti ini bukan hanya sebagai ahil SUPP tetapi BN umumnya.
“Ini bukanlah sebuah manifesto, tetapi deklarasi untuk kami melaksanakan tanggungjawab dan membetulkan apa-apa kelemahan kerajaan tanpa rasa takut atau pilih kasih,” tegasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat SUPP di sini, hari ini.
Intipati deklarasi tersebut menyentuh isu penentangan rasuah yang menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan drastik terhadap pesaIah tanpa mengira ideologi politik atau jawatan dalam atau luar sektor kerajaan.
“Selain itu, deklarasi ini turut memfokuskan rumah mampu milik yang mana jumlah rumah ditambah sebanyak 100,000 unit dan dijual dengan harga di bawah RM100,000 dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Kami juga akan menggesa pihak kerajaan untuk menerima pakai amalan pemberian semua projek kerajaan menerusi sistem tender yang telus serta mempercepatkan kerja membina dan menaik taraf Lebuh Raya Pan Borneo agar dapat disiapkan dalam tempoh lima tahun akan datang,” ujarnya.
Golongan berpendapatan rendah akan menikmati bantuan menerusi peruntukan 500,000 hektar tanah untuk tujuan per tanian, penyemakan semula kriteria sedia ada bagi peruntukan bantuan kebajikan tahunan bagi mereka yang memerlukan.
“Kami turut akan memastikan pengukuran Tanah Adat Bumiputera (NCR) disiapkan dalam tempoh lima tahun dan menggesa kerajaan memastikan kumpulan bukan bumiputera diambil untuk pengambilan bekerja,” jelasnya.
(Sumber: Utusan Sarawak, 24 April 2013)