Manifesto BN Beri Manfaat Yang Besar Kepada Rakyat

 

Manifesto BN beri manfaat yang besar kepada rakyat


Ia merupakan bukti penting bahawa kerajaan pusat sememangnya benar-benar memajukan Sarawak

BINTULU: Manifesto Barisan Nasional (BN) yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Sabtu lalu disifatkan sebagai mesra rakyat dan bakal memberi manfaat besar kepada rakyat negeri ini.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) Datuk Mohd Naroden Majais berkata, segala manifesto yang dikemukakan merupakan bukti penting bahawa kerajaan pusat sememangnya benar-benar memajukan Sarawak.

“Justeru saya berharap rakyat terus memberi sokongan padu terhadap kepimpinan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dengan memberi kemenangan besar kepada semua parti komponen BN,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Kampung Tradisi Kampung Penan Muslim Batu 10 dan Kampung Pandan Sebauh dan Penyampaian Warta Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri di
Dewan Suarah Bintulu, di sini semalam.

Sementara itu, Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Elektrik dan Telekomunikasi) Datuk Dr Stephen Rundi Utom juga menyifatkan manifesto BN sebagai suatu harapan yang bakal menjadi realiti dan bukannya janji-janji kosong sebagaimana manifesto pembangkang.

Apa yang penting jelasnya, rakyat semakin sedar bahawa hanya kerajaan BN yang mampu membawa perubahan dan pembangunan berterusan kepada negeri ini.

“Justeru, saya yakin manifesto BN dapat ditunaikan memandangkan kerajaan sekarang mempunyai rekod pentadbiran negara yang mantap serta diyakini dengan banyak program pembangunan berjaya dilaksanakan sepanjang lebih 50 tahun mentadbir negara ini,” katanya.

Dr Rundi berkata manifesto yang dikemukakan itu jelas banyak memberi faedah kepada penduduk negeri ini terutama menjelang 2020 dengan pelaksanaan projek industri dan ekonomi secara keseluruhannya.

“Paling menggembirakan kita (BN Negeri) ialah kerajaan pusat berjanji akan membina Lebuh Raya Pan Borneo yang menghubungkan semua bahagian negeri ini yang bakal mengubah jaringan perhubungan negeri ini ke arah yang lebih baik,” katanya.

Justeru, rakyat harus memberi mandat besar kepada BN untuk terus memerintah negara ke arah mencapai tahap sosioekonomi serta kehidupan yang lebih baik dan terjamin.

(Sumber:  Utusan Borneo, 10 April 2013)

 

 

 
image Polls
image Announcement