Masyarakat Kelabit Berusaha Kekalkan Warisan Budaya

 

Masyarakat Kelabit berusaha kekalkan warisan budaya


MIRI: Seperti kumpulan minoriti Sarawak yang lain, masyarakat Kelabit turut berusaha mengekalkan warisan kebudayaan dan Sejarah mereka agar tidak terus ditelan arus kemodenan.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Penasihat Rurum Kelabit Sarawak (RKS) Datu Ose Murang, dominasi budaya moden dan globalisasi memberikan cabaran sengit terhadap masyarakat masa kini.

“Sejak 50 tahun lalu, masyarakat Kelabit tinggal di kawasan kampung tanah tinggi, berdialek Kelabit, mengamalkan kebudayaan dan amalan gaya hidup yang sihat berbanding pada hari ini, kita semakin lupaa identiti kita sendiri disebabkan kemodenan yang ada kini,” katanya.

Bahkan, beliau turut mengakui bahawa beliau sendiri juga menghadapi kesukaran serta cabaran dalam menerapkan kebudayaan masyarakat Kelabit kepada anak-anaknya.

“Kaum Kelabit merupakan minoriti yang dikenali sebagai masyarakat yang tinggal di tanah tinggi yang sekali gus menjadi identiti bagi kaum terbabit,” katanya pada majlis makan malam perlantikan dan penghargaan sempena Persidangan Delegasi Tiga Tahun Sekali (TDC) Rurum Kelabit Sarawak Ke-7 di sini malam Sabtu lalu.

Ose turut melahirkan rasa sedih melihat beberapa kampung masyarakat tersebut yang terbiar dan menjadi hutan tebal.

Jelasnya, hal itu terjadi disebabkan sejumlah 80 peratus kaum Kelabit telah berpindah dan berhijrah ke bandar-bandar bagi meningkatkan kualiti kehidupan.

“Justeru, kita mahu RKS memainkan peranan mereka secara aktif dalam memelihara dan mempromosikan warisan kebudayaan serta mengekalkan sejarah kaum Kelabit,” ujarnya.

Mengulas mengenai RKS, beliau berkata RKS telah melakukan tugas yang amat baik dalam membantu membangunkan masyarakat Kelabit.

Pertubuhan berkenaan telah memilih pemimpin yang amat berwawasan untuk masyarakat saling tampil ke hadapan dan turut memperbaharui komitmen serta dedikasi mereka dalam melakukan sesuatu untuk komuniti Kelabit.

Sementara itu, bekas Presiden RKS Gerawat Gala dalam ucapannya mahu kaum Kelabit terus berusaha dan mencapai kecemerlangan serta menyokong bersama objektif RKS.

Katanya, ia adalah cara bagi mendapatkan pengiktirafan dan penghormatan daripada masyarakat lain walaupun merupakan antara kaum minoriti.

Sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai presiden, RKS telah mencapai pelbagai pencapaian dan sejarah serta manfaat kepada masyarakatnya seperti pembinaan jalan raya di jalan pembalakan yang menghubungkan masyarakatnya ke Bario, pelaksanaan pengukuran tanah Hak Adat

Bumiputera (NCR) di tanah tinggi Kelabit, pengenalan penanaman padi berjentera, pelancaran adat Kelabit dan sebagainya.

Turut hadir Presiden RKS Datuk Isaac Lugun.

(Sumber:  Utusan Borneo, 19 Mac 2013)

 
image Polls
image Announcement