Penyukatan NCR Iktiraf Hak Rakyat
MENTERI Kemajuan Tanah, Tan Sri James Jemut Masing berkata masalah kerja penyukatan ukur keliling tanah Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) kini dapat diatasi dan diperjelaskan kepada rakyat.
Kerja penyukatan yang dianggarkan seluas lebih 1.2 juta hektar NCR di seluruh negeri berjalan lancar dengan rakyat semakin menyedari tujuan penyukatan yang akan memberi keuntungan kepada mereka.
Jelas, hak rakyat tidak dinafikan melalui proses penyukatan tanah NCR dan pemberian geran kepada individu yang berhak setelah tanah berkenaan diwarisi turun-temurun daripada nenek moyang mereka.
Rakyat memahami kerajaan perlu menyukat ukur keliling tanah bagi memudahkan penyukatan individu seterusnya.
Mengulas masalah utama yang dihadapi oleh kerajaan dalam melaksanakan penyukatan ukur keliling, Masing memberitahu, ia kebanyakannya hanya salah faham yang berlaku.
Kerajaan Negeri melalui bantuan Kerajaan Persekutuan membelanjakan kos yang tinggi, RM80 jutaan bagi melakukan proses penyukatan ukur keliling.
Pemilik tanah NCR perlu memberi laluan kepada pihak bertanggungjawab melakukan penyukatan ukur keliling terlebih dahulu.
Selepas penyukatan ukur keliling siap 2015, baru laluan penyukatan secara individu dilakukan.
Ini berrnakna bagi yang benar-benar memiliki dan berhak ke atas tanah NCR di mana-mana kawasan yang sudah memohon agar tanah mereka disukat, kini tinggal lagi mereka perlu bersabar menunggu.
Dalam hal ini, diharap mereka tidak mudah dimakan hasutan pihak tidak bertanggungjawab dan cuba menangguk di air keruh dalam isu pemberian geran tanah NCR ini.
Pemilik tanah NCR juga diperingatkan agar menyelesaikan masalah seperti pertikaian sempadan tanah sesama pemilik tanah.
Tanpa pertikaian pemilik penyukatan tanah NCR akan menjadi lebih mudah.
Pemberian dan pengiktirafan pemilikan tanah kepada rakyat yang berhak ini seharusnya diterima oleh rakyat dengan memanfaatkan tanah berkenaan untuk faedah diri sendiri dan kepentingan pembangunan negara.
Isu NCR bukan sekadar isu pemilikan, namun ia juga melibatkan apabila pemilik menerima geran tanah mereka, apakah usaha yang akan dilakukan bagi menukar tanah hutan berkenaan kepada kegiatan ekonomi yang dapat menjana pendapatan keluarga dan negara.
Jumlah 1.2 juta hektar tanah NCR merupakan jumlah yang amat besar. Ia dapat dimanfaatkan dengan usaha pertanian persendirian atau peladangan bersepadu dengan skala besar.
Daripada segi pemilikan, tanah NCR bukan sekadar dapat menjadi lambang ketuanan Bumiputera, ia seharusnya dapat ditonjolkan sebagai aset bernilai peribumi yang jika diusahakan dapat memberi pulangan lumayan kepada pemilik dan keturunannya.
Selain menerima cadangan dan skim peladangan swasta mahupun agensi pertanian dan ekonomi, pemilik tanah NCR perlu memikirkan banyak alternatif lain bagi membangunkan tanah NCR masing-masing kepada ‘lombong emas’.
(Sumber: Utusan Sarawak, 9 Februari 2013)
