Masalah setinggan di Sibu diselesaikan
SIBU: Kerajaan negeri telah menyelesaikan masalah setinggan di tiga kawasan di bahagian Sibu secara ‘in-situ’ iaitu melalui perwartaan di bawah Seksyen 7, Kanun Tanah Negeri.
Selain itu, sebuah lagi kawasan setinggan telah diselesaikan melalui tawaran lot-lot kediaman di bawah Skim Penempatan Semula (SPS).
Pemangku Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Sibu Abdul Azziss Abdul Kadir berkata, kawasan yang diluluskan secara ‘in-situ’ ialah setinggan kawasan Sungai Pakan, Loba Kerto.
Kawasan setinggan ini katanya, melibatkan tiga bidang tanah kerajaan berdaftar dengan jumlah keluasan 3.597 hektar, yang didiami oleh 21 ketua isi rumah (18 rumah).
“Kedua kawasan setinggan Batu 81/2, Jalan Sibu/Ulu Oya yang melibatkan tanah kerajaan berdaftar seluas 6.479 hektar. Tanah ini didiami 87 ketua isi rumah yang melibatkan 65 rumah.
“Kawasan ketiga melibatkan setinggan dijalan Tanggi Spur, Batu 21, Jalan Ulu Oya yang melibatkan dua bidang tanah kerajaan berdaftar dengan keluasan 5.643 hektar.
“Tanah ini diduduki 34 ketua isi keluarga dan melibatkan 16 rumah,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Warta Seksyen 7 Kanun Tanah Negeri dan Surat Kelulusan Peruntukan Lot Kediaman di Dewan Suarah Sibu, semalam.
Majlis telah dirasmikan oleh Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar
Kedua Datuk Amar Awang Tengah Awang All Hasan.
Bagi kawasan setinggan yang diselesaikan secara tawaran lot-lot kediaman di SPS, Abdul Azziss berkata ia melibatkan setinggan di Sungai Antu.
Kawasan setinggan terbabit katanya, melibatkan tanah kerajaan iaitu tanah rizab sungai yang diduduki 16 ketua isi rumah dan melibatkan 16 rumah.
“Setinggan dikawasan ini telah diselesaikan secara tawaran lot-lot kediaman di Skim Penempatan Semula Sungai Teku Fasa 4. Surat tawaran kepada penduduk yang terlibat telah dikeluarkan semalam.
“Saya berharap penerima lot-lot kediaman ini mematuhi syarat-syarat yang tertera dalam surat tawaran tersebut,” jelas beliau.
(Sumber: Utusan Borneo, 21 Disember 2012)