367 tanah NCR lulus pengukuran
Proses pengukuran jamin hak milik tanah
KUCHING: Sejumlah 367 kawasan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) membabitkan kel uasan 604,424 hektar diluluskan kerajaan bagi kerja pengukuran perimeter sehingga bulan lalu.
Daripada jumlah itu, kerja pengukuran di 204 kawasan seluas 287,294 hektar diselesaikan dengan 91 kawasan membabitkan 111,845 hektar diwartakan sebagai
tanah Rizab Gunasama Bumiputera (Pertanian).
Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua, Datuk Amar Awang
Tengah Ali Hasan, berkata proses mewartakan tanah milik pelbagai masyarakat Bumiputera itu dibuat mengikut Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri.
Katanya, surat warta 72 kawasan diserahkan kepada ketua masyarakat setiap komuniti, manakala bakinya dalam proses diserahkan kepada mereka.
Bukti pengiktirafan kerajaan
“Kerja pengukuran yang masih berterusan ini dibuat atas permintaan rakyat yang mahu tanah NCR mereka diukur, selain sebagai bukti pengiktirafan kerajaan terhadap kawasan yang dimiliki penduduk Bumiputera.
“Proses ini akan memberi jaminan hak milik tanah kepada pemilik terdiri daripada masyarakat Melayu, Melanau, Iban, Bidayuh, Bisaya, Kayan, Kedayan, Kelabit dan Lun Bawang,” katanya ketika menggulungkan perbahasan kementeriannya di Sidang Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini, semalam.
Awang Tengah turut memaklumkan kerja pengukuran perimeter di bawah inisiatif Baru NCR dibuat jurukur Jabatan Tanah dan Survei bersama juru ukur swasta.
Pampasan RM271 juta
Mengulas pampasan Projek Hidroelektrik Bakun, beliau memaklumkan sejumlah RM271 juta dibayar termasuk peruntukan membina rumah baru bernilai RM50,000 di Skim Penempatan Semua Sungai Asap.
“Semua pampasan kepada penduduk sudah dibayar dan mereka memilih ditempatkan semula di kawasan Sungai Asap dan setiap ketua bilik turut menerima tanah pertanian seluas 1.2 hektar setiap keluarga.
“Untuk pampasan tanah bagi Jalan Ulu Budu, bayaran sebanyak RM304,449 sudah di beri kepada penuntut tanah NCR terbabit pada 2001,” katanya.
(Sumber: Berita Harian, 27 November 2012)
