Sokong Kerja Sukat Tanah NCR

 

Sokong kerja sukat tanah NCR


Sebagai jaminan keselamatan hak para pemilik secara turun-temurun

OIeh Ashley Anggat

KAPIT 8 Nov. - Pemilik tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di bahagian ini digesa membenarkan tanah mereka disukat dan diwartakan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri oleh Jabatan Tanah dan Survei (JTS).

Ahli Parlimen Kapit, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, pemilik tanah perlu sedar proses itu akan memberi jaminan kepada keselamatan tanah NCR mereka dalam jangka masa panjang.

Sehubungan itu, beliau menggesa pemilik tanah NCR merebut peluang menyukat tanah mereka kerana proses itu ketika ini dilakukan secara percuma.

“Jangan kita terpengaruh dengan hasutan pihak tidak bertanggungjawab yang mahu melihat kerja menyukat tanah NCR tidak berjalan dengan lancar.

“Rakyat mesti sedar menyukat tanah NCR ini penting bagi menjamin keselamatan tanah untuk diwariskan kepada anak cucu pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berucap dalam Majlis Penyampaian Warta Pemberitahuan Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri Bagi Pengukuran Keliling Tanah NCR di bawah inisiatif baharu kerajaan di Dewan Sri Baleh, di sini semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, Alexander menyatakan kesediaannya menyumbang dana pembelian sistem penentu kedudukan global (GPS) untuk kegunaan JTS dan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) bagi melancarkan dan mempercepatkan proses menyukat tanah NCR di kawasan ini.

Katanya, sebelum ini beliau telah menyumbang sebanyak lima set GPS bagi tujuan itu di Daerah Song dan telah banyak membantu dalam melancarkan usaha menyukat tanah NCR.

Sementara itu, Penguasa Tanah dan Survei Kapit, Norlina Ra’ee memberitahu, sebanyak 36 buah rumah panjang telah mendapat manfaat daripada kerja-kerja menyukat tanah NCR di bawah inisiatif  baharu kerajaan di seluruh bahagian ini.

Katanya, kawasan yang telah disukat termasuklah Sungai Menuan (38,222 hektar), Sungai Belawai (35,501 hektar), Sungai Entangai, Sungai Melipis dan Song (39,627 hektar) dan Nanga Mujong/Pulau Won (10,675 hektar).

(Sumber:  Utusan Malaysia, 9 November 2012)

 
image Polls
image Announcement