Kerajaan terus sukat NCR - Adenan
LIMBANG, Isnin — Kerajaan Negeri melalui Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (JTS) telah menerima banyak permohonan untuk melakukan kerja penyukatan tanah hak adat Bumiputera (NCR) melalui Proses penyukatan tanah di bawah Inisiatif Baru NCR yang diperkenalkan pada Julai 2010 lalu.
Menteri di Pejabat Ketua Menteri merangkap Menteri Tugas-Tugas Khas, Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem berkata, melalui melalui penwartaan tanah NCR sebagai Rizab Gunasama Bumiputera, pemilik tanah tidak perlu bimbang dan ragu tentang status hak tanah NCR mereka.
Beliau berkata, JTS juga akan melakukan kerja penyukatan di kawasan tanah NCR yang belum disukat seperti yang dipohon oleh pemilik tanah sebelum ini.
“Warta di bawah Sekyen 6 Kanun Tanah Negeri yang ada sekarang memberi jaminan dan pengiktirafan undang-undang ke atas pemilih tanah NCR.
Ini dilihat dapat mengelakkan sebarang pertikaian dan pencerobohan sempadan tanah masing-masing seperti mana yang berlaku sebelum usaha penyukatan ini dilakukan.
“Sememangnya proses ini akan mengambil sedikit masa kerana ianya dilakukan secara berterusan dan kerajaan begitu komited untuk mengiktiraf hak pemilik tanah dengan melaksana penyukatan tanah NCR mereka,” katanya pada Majlis Penyerahan Warta Seksyen 6 Rizab Gunasama Bumiputera (Pertanian ) Bahagian Limbang di sini hari ini.
Adenan menambah, kerajaan mengarahkan JTS agar melakukan kerja penyukatan tanah dengan segera untuk memudahkan kerja-kerja penyukatan terus dilakukan di kawasan lain.
Sementara itu, Penguasa JTS Bahagian Limbang, Hardi menjelaskan sebanyak 12 kawasan di bahagian Limbang sudah diwartakan sebagai Rizab Gunasama Bumiputera di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri melibatkan keluasan 4,085.5 hektar.
Manakala, dua lagi kawasan bagi daerah Limbang akan menerima warta sama melibatkan kawasan Kampung Bakol/Melaban dengan keluasan 184 hektar.
Kawasan lain katanya termasuk Kampung Palas/Lubuk Simpor dengan keluasan 82 hektar.
Pada masa yang sama sejumlah tujuh lagi kawasan sedang menunggu untuk diluluskan penwartaan melibatkan Kampung Pandak Limbang, Pengkalan Gurah, Melanjan, Ranggau, Reda, Semabat dan Kampung Lintang Lawas.
Empat kawasan yang dalam proses penyediaan draf warta melibatkan Kampung Berawan, Ranggu/ Pangkalan Jawa, Kampung Paya Mengaliong dan Kampung Induk Sangkar.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Paulus Palu Gumbang, Timbalan Pengarah (Pengurusan) JTS Sarawak, Ibrahim Lumpu, Residen Limbang Maria Hasman, Penguasa JTS Bahagian Limbang Hardi Fadillah Hamzah dan Pengarah Yayasan Sarawak Abu Bakar Marzuki.
(Sumber: Utusan Sarawak, 23 Oktober 2012)
