Penyukatan Tanah Giat Dilaksanakan: Adenan

 

Penyukatan tanah giat dilaksanakan: Adenan


Penyukatan di bawah inisiatif baharu NCR mendapat sambutan menggalakkan daripada pemilik tanah

OIeh Mastura Ismail

LIMBANG: Proses penyukatan tanah di bawah inisiatif baharu tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) sedang giat dijalankan kerajaan dan mendapat sambutan menggalakkan daripada pemilik tanah sejak diperkenalkan pada Julai 2010.

Menteri Tugas-tugas Khas Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem berkata kerajaan negeri melalui Jabatan Tanah dan Survei (JTS) menerima banyak permohonan untuk melaksanakan penyukatan keliling di bawah inisiatif baharu NCR di seluruh negeri.

Beliau berkata JTS sudah turun padang bagi menjalankan kerja penyukatan di kawasan tanah NCR seperti yang dimohon pemilik tanah sebelum ini.

“Selagi ada permohonan sah, JTS akan menjalankan tanggungjawab untuk menyukat tanah NCR mereka mengikut senarai yang diterima dan proses ini akan berterusan,” katanya pada Majlis Penyerahan Warta Seksyen 6 Rizab Guna Sama Bumiputera (Pertanian) Bahagian Limbang, di sini semalam.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Timbalan Pengarah (Pengurusan) JTS Sarawak Ibrahim Lumpu, Residen Limbang Maria Hasman, Penguasa JTS Bahagian Limbang Hardi Fadillah Hamzah dan Pengarah Yayasan Sarawak Mohamad Abu Bakar Marzuki.

Adenan berkata JTS menerima banyak permohonan daripada pemilik tanah untuk melakukan penyukatan  tanah NCR mereka.

“Kita juga akan melakukan kerja penyukatan di kawasan tanah NCR yang belum disukat seperti yang dimohon pemilik tanah sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata melalui pewartaan tanah NCR sebagai Rizab Guna Sama Bumiputera, pemilik tanah tidak lagi berasa bimbang dan ragu mengenai hak tanah NCR mereka.

“Warta di bawah Sekyen 6 Kanun Tanah Negeri itu merupakan jaminan dan pengiktirafan undang-undang ke atas pemilih tanah NCR dan ini dapat mengelakkan sebarang pertikaian dan pencerobohan sempadan tanah masing-masing,” jelasnya.

Katanya kerajaan begitu komited untuk mengiktiraf hak pemilik tanah dengan melaksanakan penyukatan tanah NCR mereka.

“Proses ini akan mengambil masa, kerana dilakukan secara berterusan. Kita juga meminta JTS agar menjalankan kerja penyukatan tanah dengan segera untuk memudahkan mereka melakukan kerja penyukatan di kawasan lain,” ujarnya.

Terdahulu, Hardi memberitahu sebanyak 12 kawasan di bahagian Limbang sudah diwartakan sebagai Rizab Gunasama Bumiputera di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri melibatkan keluasan 4,085.5 hektar.

Katanya dua lagi kawasan daerah Limbang akan menerima warta sama melibatkan kawasan Kampung Bakol/ Melaban dengan keluasan 184 hektar. Kawasan lain termasuk Kampung Palas/ Lubuk Simpor dengan keluasan 82 hektar.

Dalam pada itu, tujuh kawasan sedang menunggu untuk diluluskan pewartaan melibatkan Kampung Pandak Limbang, Pengkalan Gurah, Melanjan, Ranggau, Reda, Semabat dan Kampung Lintang Lawas.

Manakala empat kawasan ujarnya dalam proses penyediaan draf warta melibatkan Kampung Berawan, Ranggu/ Pangkalan Jawa, Kampung Paya Mengaliong dan Kampung Induk Sangkar.

(Sumber:  Utusan Borneo, 23 Oktober 2012)

 

 
image Polls
image Announcement