picture

News

 

JTS Sarawak berjaya raih tiga pingat emas pada MTE 2023

Posted on 18 Mar 2023
Source of News: Utusan Borneo

KUCHING: Inovasi Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak berjaya meraih tiga pingat emas bagi kategori Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam (PSIA) pada Ekspo Teknologi Malaysia (MTE) 2023 pada Jumaat. 

Penyerahan pingat berkenaan telah dismepurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Persekitaran Mampan) Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan Datuk Saidatu Akhma Hassan pada satu majlis di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Tiga inovasi tersebut ialah 'Smart Target Accurate Reference Solution' (STARS) oleh VTECHXII dari JTS Bahagian Serian, 'e128 Loss of Land Title Online System' oleh Sassoku-Tech dari JTS Bahagian Kuching dan 'MySmartTOL' oleh Lands Tahai Q dari JTS Bahagian Limbang. 

Selain itu, satu inovasi yang bertajuk 'Intelligent Recovery System' (i-Recovery) oleh RUAI VAIE D9 dari JTS Bahagian Bintulu memenangi pingat perak.

Projek STARS oleh VTECHXII dari JTS Bahagian Serian juga telah diberi pengiktirafan antarabangsa apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Khas daripada The International Alliance of Innovation and Invention Associations (IAIA) 2023.
Tahun ini merupakan tahun kelima penyertaan JTS Sarawak pada MTE sejak tahun 2019.

Sejak penyertaan pertama melalui inovasi 'Sarapeg,' JTS Sarawak sentiasa mempamerkan pencapaian yang cemerlang dan membanggakan dengan memenangi pingat emas serta menerima pengiktirafan anugerah khas daripada pelbagai institusi inovasi dan kreativiti peringkat tempatan dan antarabangsa. Antara kriteria yang dinilai bagi penentuan pencapaian itu ialah kepentingan dan signifikan projek, kreativiti inovasi yang dibangunkan, impak serta hasil projek kepada organisasi mahupun negeri. 

MTE ke-22 terbabit yang dianjurkan secara hibrid dan menggabungkan dua dinamik iaitu secara fizikal dan virtual dengan bertemakan 'A Leading Global Innovation and Technology Event' berlangsung dari 16 hingga 18 Mac 2023. 

Selain pengiktirafan PSIA, MTE 2023 juga menjadi platform untuk para inventor dan inovator dari seluruh dunia untuk berkumpul dan berebut pengiktirafan yang ditawarkan.


picture Polls
picture Announcement