picture

News

 

Awang Tengah serah cek pampasan bernilai RM20 juta kepada 111 penerima

Posted on 14 Mar 2023
Source of News: Utusan Borneo
Awang Tengah (tengah) merakam gambar bersama penerima cek pampasan tanah serta yang lain di Dewan Suarah Kota Samarahan

KOTA SAMARAHAN: Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan semalam menyerahkan cek pampasan bernilai RM20 juta kepada 111 penerima yang terlibat dalam empat projek kerajaan di bahagian Samarahan. 
Majlis penyerahan cek pampasan berlangsung di Dewan Suarah Kota Samarahan di sini yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak Datu Abdullah Julaihi. 
Dalam ucapannya, Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua berkata, bayaran pampasan itu dibuat berdasarkan kadar semasa dan bukan sahaja berdasarkan saiz tanah tetapi juga tanaman dan struktur yang ada. 
"Untuk pastikan kelancaran pelaksanaan semua projek yang bertujuan untuk kegunaan awam, kita perlu ambil balik tanah. 
“Perkara ini tidak dapat dielakkan kerana tidak semua tanah di mana kita laksanakan projek adalah tanah kerajaan.
"Tetapi semua ini kita lakukan dengan begitu teliti  berdasarkan peruntukan yang ada dalam Kanun Tanah Negeri mengikut Bab 81 dan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan," katanya. 
Ujar Awang Tengah lagi, jika ada pemilik tanah yang tidak berpuas hati dengan nilai pampasan yang diterima, mereka boleh merujuk kepada mahkamah. 
Namun katanya, berdasarkan penilaian Jabatan Tanah dan Survei, sebenarnya nilai pampasan yang dibayar kerajaan adalah lebih tinggi daripada sepatutnya. 
Justeru Awang Tengah berharap rakyat sedar apa yang dilakukan kerajaan ini adalah untuk membantu rakyat dan semua projek ini memberi manfaat kepada rakyat keseluruhannya. 
Sementara itu Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Samarahan Mohammad Zunica Mohamad Sapi'ee berkata, bayaran pampasan itu melibatkan empat projek. 
Projek pertama katanya, cadangan Jalan Kampung Tegelam dan Kampung Sungai Alit Bahagian Samarahan melibatkan 34 penerima dengan nilai pampasan RM4,023,959.39. 
Projek kedua adalah Jalan Kampung Sungai Tanju/Kampung Beliong ke Kampung Lubok Kura (Sektor Samarahan) melibatkan 20 penerima dengan pampasan bernilai RM157,268.35. 
Manakala projek ketiga cadangan pembinaan Pakej A Jalan Utama Kedua, cadangan semak semula jajaran Pakej A2 (Lebuh raya dari Batang Sadong ke Sebuyau) dengan 39 penerima bernilai RM14,591,396.60. 
Projek keempat pula ialah Skim pembesaran Kampung Reban, Samarahan melibatkan seramai  18 penerima dengan nilai pampasan berjumlah RM1,298,278.00.


picture Polls
picture Announcement