picture

News

 

2.6 juta ekar tanah NCR Sarawak berjaya disukat

Posted on 07 Mar 2023
Source of News: Utusan Borneo
BINTULU: Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak telah berjaya menyukat seluas 2.6 juta hektar tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) secara perimeter di negeri ini sejak 2010, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
"Daripada jumlah tersebut, seluas 814,428 hektar atau 2.01 juta ekar diwartakan yang merupakan usaha berterusan bagi memastikan semua tanah NCR di negeri ini disukat dan diwartakan," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Penyerahan Warta Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri dan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 13 dan 18 Kanun Tanah Negeri Bahagian Bintulu di Auditorium BDA hari ini.
Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua dan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan itu berkata, setelah Warta Rizab Komunal Bumiputera di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri dikeluarkan, maka langkah seterusnya adalah pelaksanaan peringkat kedua.
Awang Tengah berkata, ia meliputi kerja-kerja penyukatan lot individu dan pengeluaran surat hak milik tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri (KTN). 
"Program ini secara amnya melibatkan semua kawasan dan bahagian di seluruh negeri termasuk semua Bumiputera yang mempunyai hak ke atas tanah NCR masing-masing," jelasnya.
Beliau berkata, asalkan ia mempunyai bukti cukup, sahih dan mengikut perundangan, ia akan dapat dilaksanakan tanpa sebarang halangan.
Katanya, kerajaan melaksanakan pengukuran secara lot individu berdasarkan permohonan diluluskan di mana kawasan tersebut disukat secara perimeter, diwartakan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri dan kesediaan penuntut tanah NCR terbabit.
"Setakat ini, sebanyak 57,703 lot kediaman daripada 386 kampung di seluruh Sarawak telah disukat.
"Daripada jumlah tersebut sebanyak 53,824 lot telah dikeluarkan surat hak milik dan hari ini, saya menyerahkan sebanyak 65 surat hak milik tanah kepada 65 penerima bagi Kampung Baru Darat, Kampung Baru Laut dan Kampung Sebiew.
Pada majlis berkenaan, Awang Tengah menyerahkan Warta Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian) Seksyen 6 KTN kepada Kampung Nyalau, Warta Rizab Komunal Bumiputera (Rumah Panjang) Seksyen 6 KTN kepada Rumah Entika Samarakan, Rumah Suhaili Siba, Rumah Chali Ugok, Rumah Garena Pi, Rumah Labang, Rumah Janting dan Rumah Ambong Atop di Jalan Bintulu-Miri.
Turut diserahkan ialah Tanah Perkuburan Batu-16 Warta Rizab Komunal (Tanah Perkuburan) Seksyen 6 KTN dan Warta Rizab Kerajaan (Rumah Panjang) Seksyen 7 KTN Rumah Apee Banta, Rumah Francis Lagan dan Rumah Sunggon Enchelum di kawasan Sungai Sap.
 
 


picture Polls
picture Announcement