picture

News

 

2.6 juta ekar Tanah NCR berjaya disukat secara perimeter setakat 31 Januari lalu

Posted on 07 Mar 2023
Source of News: Suara Sarawak
BINTULU: Sebanyak 1,076,435 hektar atau 2.6 juta ekar Tanah Hak Adat Bumiputera(NCR) telah berjaya disukat secara perimeter di bawah Program Pengukuran NCR Inisiatif Baharu setakat 31 Januari lalu.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata daripada jumlah tersebut, kira-kira 814.428 hektar atau 2.01 juta ekar telah diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian) di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri.
Beliau berkata program yang diperkenalkan pada tahun 2010 itu merupakan antara usaha kerajaan Sarawak untuk mempercepatkan proses penyukatan pengukuran tanah NCR supaya pemilik mempunyai dokumen pemilikan tanah, sempadan tanah yang jelas  dan tidak diceroboh.
 “Setakat  31 Januari 2023, sebanyak 66,454  lot individu telah berjaya  diukur melibatkan kawasan seluas 81,437 hektar.
“Sebanyak 26,113 lot telah dikeluarkan surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri yang berkeluasan  44,930 hektar atau 111,024 ekar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan Warta Seksyen 6, Seksyen 7 dan surat hak milik tanah bagi Seksyen 13 dan 18 Kanun Tanah Negeri bertempat di Auditorium BDA, Wisma Bintulu, pagi tadi.
Dalam pada itu, Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II menegaskan untuk mempercepatkan pengukuran lot individu tanah NCR,  penuntut tanah perlu hadir semasa pengukuran di lapangan.
Selain itu, katanya penuntut perlu menandakan sempadan tanah mereka dengan jelas dan mengelak pertikaian dalam membuat tuntutan agar pengukuran berjalan dengan lebih lancar.
Pada majlis itu, Awang Tengah menyampaikan sebanyak 82 surat hak milik tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri melibatkan kawasan Sungai Selitut–Separai kepada 48 penerima di bawah Program  Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu Fasa 2.
Turut disampaikan surat hak milik tanah kepada 65 penerima dari empat  perkampungan iaitu Kampung Baru Darat, Kampung Baru Laut, kawasan Kampung Sebiew dan Kampung Sebiew(Tingal) di bawah Kampung Tradisi.
 


picture Polls
picture Announcement