Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion (dua kiri) menyampaikan cenderahati tanda terima kasih kepada Uggah. Turut kelihatan Setiausaha Tetap Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, Datu Ik Pahon Joyik.- Gambar Rais Sanusi.
KUCHING: Pembangkang yang menghasut penduduk negeri ini mengatakan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) disukat di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri (Pindaan) 2018 merupakan tanah negeri, sebenarnya cemburu dengan kejayaan Kerajaan Negeri menyelesaikan isu-isu berkaitan tanah.
"Semalam (Rabu) mereka masih mencanang perkara ini dalam media sosial. Mereka 'bebal' atau ' batu pengasut'. Hakikatnya mereka cemburu kerana kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah dapat menyelesaikan isu-isu (tanah)," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam sempena Forum Kanun Tanah Negeri (Pindaan) 2018 bagi Zon Selatan di sini, malam Rabu.
Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat Dan Pembangunan Wilayah berkata apabila pihak berkenanan diminta menunjukkan bukti tanah di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri diambil oleh kerajaan, mereka tidak boleh berbuat demikian kerana dakwaan mereka itu tidak benar.
Beliau menambah malah jika kerajaan sebagai contoh mahu membina sekolah atau jalan raya di atas Rizab Guna Sama Bumiputera (Seksyen 6), penduduk setempat akan dibayar pampasan kerana tanah berkenaan milik komuniti terbabit.
Beliau berkata setakat ini Kerajaan Negeri telah membayar pampasan berjumlah RM37 juta bagi kes-kes seumpamanya.
Menurut Uggah, ketua menteri (Abang Johari) telah memberi jaminan penyukatan tanah Rizab Guna Sama Bumiputera (Seksyen 6) akan diteruskan kerana ia sangat penting untuk mengasingkan tanah NCR atau lebih dikenali Domain Wilayah Pribumi (NTD) daripada tanah negeri .
Ketua menteri katanya ketika membentangkan Belanjawan 2020 mengumumkan peruntukan RM 40 juta bagi melakukan penyukatan perimeter tanah NCR.
Sementara itu berdasarkan maklumat dalam buku program forum berkenaan, pada 12 Julai 2018 Dewan Undangan Negeri (DUN) meluluskan Kanun Tanah Negeri (Pindaan) 2018.
Di bawah inisiatif baharu tanah NCR yang sedang dilaksanakan ketika ini, kerajaan negeri telah melaksanakan penyukatan perimeter tanah di bawah Seksyen 6 dan mengeluarkan surat hak milik tanah individu di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri.
Sehingga Julai tahun ini, 888,767 hektar tanah NCR telah disukat di bawah Seksyen 6 dan daripada jumlah itu, 724,932 hektar telah diwartakan sebagai Rizab Guna Sama Bumiputera (untuk pertanian).
Manakala 35,958 hektar telah disukat di bawah Seksyen 18 dengan 14,588 Surat hak milik tanah telah dikeluarkan.
Seramai 1002 peserta terdiri daripada penjawat awam dan ketua masyarakat dari bahagian Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman Dan Betong akan mengikuti forum berkenaan hari ini.
Dua kertas kerja akan dibentangkan iaitu Kanun Tanah Negeri (Pindaan) 2018 dan Peraturan Tanah 2019 (Rizab Guna Sama Bumiputera) serta Proses Dan Prosedur Permohonan Native Communal Title (NCT).