KUCHING: Kerajaan Sarawak sedia berkongsi kepakaran dan sistem dalam urusan pentadbiran tanah dan pengurusan sumber dengan Kerajaan Persekutuan bagi meningkatkan kecekapan pelaksanaan di peringkat nasional.
Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Kerajaan Persekutuan telah membincangkan cadangan supaya urusan pendaftaran hak milik dan transaksi tanah dapat diselesaikan dalam tempoh satu hari.
“Kita sudah menggunakan pendekatan berkenaan di Sarawak sejak 2009 menerusi sistem eLASIS. Sistem ini bukan hanya melibatkan pemilikan tanah, tetapi merangkumi sekitar 67 jenis transaksi.
“Ini termasuk kaveat, cagaran dan subpajakan,” katanya selepas ditemui media ketika menghadiri Mesyuarat Majlis Tanah Negara Ke-83 di Bangunan Parlimen Malaysia di sini, hari ini.
Sementara itu, Awang Tengah mewakili Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menghadiri mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mesyuarat antara lain membincangkan cadangan supaya urusan pendaftaran hak milik dan transaksi tanah dapat diselesaikan dalam tempoh satu hari.
Selain itu, mesyuarat turut membincangkan komitmen negara untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus keluasan Malaysia sebagai kawasan berhutan.
Sehubungan itu, Awang Tengah berkata Sarawak melalui amalan pengurusan hutan secara lestari dan dasar guna tanahnya terus memberi sumbangan besar kepada pencapaian sasaran nasional berkenaan.
“Sekitar 62 peratus kawasan Sarawak masih diliputi hutan, sekali gus menjadikan sumbangan Sarawak bersama Sabah amat signifikan dalam membantu Malaysia memenuhi komitmen mengekalkan litupan hutan,” katanya.
Justeru, beliau mencadangkan agar Sarawak dan Sabah diberikan insentif sewajarnya, termasuk menerusi mekanisme Pemindahan Fiskal Ekologi (EFT) bagi menyokong usaha berterusan kedua-dua negeri memelihara kawasan hutan.
Dalam usaha penghijauan pula, sekitar 67 juta pokok ditanam menerusi Program Penghijauan Malaysia dan mencapai sasaran lebih awal.
“Sarawak akan meneruskan usaha berkenaan sehingga 2030 dengan sasaran baharu penanaman 50 juta pokok,” ringkasnya.
Awang Tengah turut berkongsi pengalaman Sarawak dalam penggunaan sistem geolokasi bagi sektor perhutanan, termasuk mengenal pasti lokasi serta spesies kayu.
Katanya, sistem berkenaan sudah dilaksanakan di Sarawak dan negeri ini bersedia berkongsi pendekatan tersebut sekiranya Kerajaan Persekutuan berminat untuk menelitinya.
“Berhubung sektor perlombongan dan mineral, Sarawak mempunyai garis panduan serta pendekatan tersendiri bagi memastikan pembangunan sektor berpotensi besar itu mampu memberi pulangan lebih tinggi kepada negeri dari segi sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), peluang pekerjaan dan pemindahan teknologi.
“Sarawak mengalu-alukan pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI), namun pelabur dalam sektor mineral tidak boleh sekadar menjalankan aktiviti huluan untuk mengekstrak sumber sebelum mengeksportnya dalam bentuk mentah.
“Sebaliknya, pelaburan perlu merangkumi keseluruhan rantaian nilai termasuk industri huluan, pertengahan dan hiliran bagi menghasilkan nilai tambah yang lebih tinggi di Sarawak,” jelasnya.
Pendekatan sama, katanya, turut terpakai dalam pembangunan unsur nadir bumi (REE), dengan pelabur dikehendaki mematuhi garis panduan Kerajaan Sarawak dan menjalankan aktiviti pemprosesan di negeri ini.
“Kerajaan Sarawak juga akan meneliti garis panduan Kerajaan Persekutuan yang bersesuaian, namun pembangunan sektor berkenaan akan terus dipandu dan dikawal selia berdasarkan dasar serta kepentingan Sarawak,” katanya.