Awang Tengah bersalaman dengan Anwar pada Mesyuarat Majlis Tanah Negara Ke-83 di Bangunan Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur, hari ini.
KUALA LUMPUR: Sistem eLASIS yang dibangunkan Sarawak mendapat perhatian pada Mesyuarat Majlis Tanah Negara Ke-83 hari ini, dengan Kerajaan Sarawak bersedia berkongsi pengalaman serta kepakaran dalam pelaksanaannya bagi membantu meningkatkan keberkesanan pentadbiran tanah di peringkat persekutuan.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, antara perkara yang dibincangkan pada mesyuarat berkenaan ialah cadangan supaya urusan pendaftaran hak milik dan transaksi tanah dapat diselesaikan dalam tempoh satu hari.
Menurutnya, pendekatan berkenaan telah dilaksanakan di Sarawak sejak 2009 menerusi sistem eLASIS.
“Di Sarawak, transaksi pemilikan tanah dalam tempoh satu hari telah kita laksanakan sejak 2009. Sistem kita juga bukan hanya melibatkan pemilikan tanah tetapi merangkumi kira-kira 67 jenis transaksi termasuk kaveat, cagaran dan subpajakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri mesyuarat berkenaan yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bangunan Parlimen Malaysia di sini, hari ini.
Awang Tengah menghadiri mesyuarat tersebut bagi mewakili Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Dalam pada itu, Awang Tengah berkata kira-kira 62 peratus kawasan Sarawak masih diliputi hutan, sekali gus menjadikan sumbangan Sarawak bersama Sabah amat signifikan dalam membantu Malaysia memenuhi komitmen mengekalkan litupan hutan.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya Sarawak dan Sabah diberikan insentif sewajarnya, termasuk menerusi mekanisme Ecological Fiscal Transfer (EFT), bagi menyokong usaha kedua-dua negeri memelihara kawasan hutan.
Beliau berkata Sarawak telah menanam kira-kira 67 juta pokok menerusi Program Penghijauan Malaysia dan mencapai sasaran lebih awal.
Sarawak akan meneruskan usaha berkenaan sehingga 2030 dengan sasaran baharu penanaman 50 juta pokok.
Awang Tengah turut berkongsi pengalaman Sarawak dalam penggunaan sistem geolokasi bagi sektor perhutanan, termasuk mengenal pasti lokasi serta spesies kayu.
Katanya, sistem berkenaan telah dilaksanakan di Sarawak dan negeri ini bersedia berkongsi pendekatan tersebut sekiranya Kerajaan Persekutuan berminat untuk menelitinya.
Mengenai sektor perlombongan dan mineral, beliau berkata Sarawak mempunyai garis panduan serta pendekatan tersendiri bagi memastikan pembangunan sektor berkenaan memberi nilai tambah kepada negeri dari segi sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), peluang pekerjaan dan pemindahan teknologi.
Tegas beliau, Sarawak mengalu-alukan pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI), namun pelaburan dalam sektor mineral perlu merangkumi keseluruhan rantaian nilai termasuk industri huluan, pertengahan dan hiliran bagi menghasilkan nilai tambah lebih tinggi di Sarawak.
Katanya, pendekatan sama turut terpakai dalam pembangunan unsur nadir bumi (REE), dengan pelabur dikehendaki mematuhi garis panduan Kerajaan Sarawak serta menjalankan aktiviti pemprosesan di negeri ini.
Kerajaan Sarawak juga akan meneliti mana-mana garis panduan Kerajaan Persekutuan yang bersesuaian, namun pembangunan sektor berkenaan akan terus dipandu dan dikawal selia berdasarkan dasar serta kepentingan Sarawak.