SARIKEI: Projek Jalan Penghubung Nyelong ByPass-Kwong Ming Minah dijangka memberi manfaat besar kepada rakyat menerusi jaringan perhubungan yang lebih baik, selain membantu melancarkan pergerakan trafik dan menyokong perkembangan ekonomi setempat.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Dato Sri Huang Tiong Sii berkata, pelaksanaan projek berkenaan kini memasuki fasa seterusnya setelah kerajaan menyelesaikan bayaran pampasan pengambilan tanah berjumlah lebih RM5.328 juta kepada pemilik terlibat.
Katanya, sebanyak 32 bidang tanah dengan keluasan keseluruhan 6.61 hektar diperlukan bagi membolehkan projek tersebut dilaksanakan.
“Daripada jumlah itu, 29 bidang merupakan tanah berhak milik manakala tiga lagi adalah tanah kerajaan yang turut terlibat dalam jajaran projek.
“Sebanyak 117 keping cek pampasan telah disediakan untuk 100 pemilik tanah, dengan jumlah keseluruhan pampasan yang dibayar adalah RM5,328,390.30,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Cek Pampasan di Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Sarawak Bahagian Sarikei, baru-baru ini.
Huang berkata, pembinaan jalan pintas sepanjang dua kilometer dengan lebar 25 meter itu akan menyediakan laluan alternatif yang lebih efisien kepada pengguna jalan raya.
Menurutnya, kemudahan tersebut berpotensi mengurangkan masa perjalanan, melancarkan aliran trafik serta meningkatkan kesalinghubungan antara kawasan Nyelong dan Kwong Ming Minah.
“Apabila jaringan jalan raya dipertingkatkan, ia bukan sahaja memudahkan pergerakan penduduk, malah membantu kelancaran pengangkutan barangan dan perkhidmatan.
“Dalam jangka panjang, kemudahan ini mampu merancakkan aktiviti ekonomi, membuka peluang pembangunan baharu dan meningkatkan akses rakyat kepada kemudahan serta kawasan tumpuan di Sarikei,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas kepimpinan serta komitmen berterusan dalam memperkukuh pembangunan infrastruktur di seluruh Sarawak.
Katanya, perhatian kerajaan terhadap pembangunan infrastruktur membuktikan komitmen untuk memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai rakyat, termasuk masyarakat di Sarikei.
Projek itu dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan dijangka menjadi antara komponen penting dalam memperkukuh jaringan jalan raya di kawasan berkenaan.
Turut hadir ialah Timbalan Residen Bahagian Sarikei Shafrie Saili, Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Sarikei Awan Amal, Jurutera Bahagian JKR Sarikei Kennedy Kedo dan Pegawai Tadbir Khas RADDA Kelana Kipli.