Kursus Analisis Perancangan Dan Pembangunan Tanah Di Sarawak
Posted on 29 Sep 2026
Source of News: Unit Perhubungan Awam, Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Sibu
Kursus Analisis Perancangan Dan Pembangunan Tanah Di Sarawak
Tarikh : 29 Sept – 01 Okt 2026
Masa : 8.00 pagi
Tempat : RH Hotel, Sibu
Kursus Analisis Perancangan Dan Pembangunan Tanah Di Sarawak telah diadakan selama tiga hari di RH Hotel, Sibu. Kursus ini menghimpunkan kakitangan Cawangan Perancangan dari semua bahagian Jabatan Tanah Dan Survei Sarawak bagi berkongsi pengetahuan, pengalaman serta amalan terbaik berkaitan perancangan dan pembangunan tanah di Sarawak.
Majlis perasmian kursus telah disempurnakan pada hari pertama oleh Puan Chua Soh Kee, Penguasa Bahagian Sibu, yang mewakili Penolong Pengarah Perancangan yang tidak dapat menghadiri majlis tersebut.
Sepanjang kursus berlangsung, pelbagai sesi perkongsian ilmu, perbincangan serta penerangan berkaitan prosedur dan kaedah pelaksanaan tugas telah disampaikan oleh Pegawai Kanan Perancangan yang berpengalaman. Selain itu, satu sesi ceramah bertajuk “Integriti” turut disampaikan oleh Encik Zolystine Laring, pegawai daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pada hari seterusnya, turut diadakan sesi perkongsian bertajuk “Cabaran Pembangunan Tanah Paya Gambut di Sibu” yang melibatkan wakil daripada Sendayan Group of Companies, iaitu Encik William Law. Sesi tersebut memberi pendedahan berkaitan isu dan cabaran yang dihadapi dalam pembangunan kawasan tanah paya, khususnya dalam konteks pembangunan di Sibu.
Penganjuran kursus ini diharapkan dapat meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan kompetensi warga Cawangan Perancangan dalam melaksanakan tanggungjawab dengan lebih cekap dan berkesan. Di samping itu, kursus ini turut menjadi platform untuk mengukuhkan kerjasama, menyelaras amalan kerja serta mempertingkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan Jabatan kepada pelanggan dan pihak berkepentingan.
