KUCHING: Lebih 1.25 juta hektar tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) telah diukur di seluruh Sarawak setakat 31 Ogos 2026, namun kerja berkenaan perlu diteruskan sehingga proses pengesahan, pendaftaran dan pengeluaran hak milik dapat diselesaikan secara menyeluruh.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan kekal komited mempercepatkan kerja pengukuran dan pengeluaran hak milik tanah NCR bagi memastikan hak rakyat dapat didokumentasikan dengan lebih teratur.
"Saya difahamkan sehingga 31 Ogos 2026, lebih 1.25 juta hektar tanah NCR telah diukur di seluruh Sarawak melalui Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu," katanya dalam hantaran di Facebook rasminya, Sarawakku.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Hari Inovasi dan Integriti Tanah dan Survei Sarawak (HIITS) 2026 di sebuah hotel di sini, malam Rabu.
Menurutnya, pencapaian berkenaan tidak boleh dilihat sebagai angka semata-mata kerana setiap lot dan sempadan tanah melibatkan keluarga, sejarah, sumber pendapatan serta masa depan generasi seterusnya.
"Kerja seterusnya perlu diarahkan kepada penyelesaian end-to-end daripada identifikasi kawasan, pengukuran dan pengesahan sempadan hinggalah kepada dokumentasi, pendaftaran dan pengeluaran hak milik," katanya.
Abang Johari berkata penggunaan teknologi mampu mempercepatkan proses pengukuran serta meningkatkan ketepatan data tanah, namun penglibatan pemilik tanah, komuniti dan pihak berkepentingan tetap penting dalam memastikan proses berjalan lancar.
Katanya, kejelasan proses dan komunikasi yang baik dapat mengurangkan pertikaian, meningkatkan keyakinan masyarakat serta memastikan hak rakyat terus dilindungi.
Beliau berkata pendekatan itu perlu menjadi sebahagian daripada usaha memodenkan pentadbiran tanah supaya pengurusan NCR bukan hanya tertumpu kepada kerja pengukuran, tetapi turut memastikan proses selepas pengukuran dapat diselesaikan secara cekap.
"Teknologi boleh mempercepatkan proses tetapi engagement dengan pemilik tanah, komuniti dan pihak berkepentingan tetap penting," katanya.
Beliau menegaskan penyelesaian isu tanah NCR perlu dilaksanakan secara teratur, telus dan adil selaras dengan tanggungjawab kerajaan untuk memastikan hak serta kepentingan rakyat terus terpelihara.