News

 

33 warta Rizab Komunal Bumiputera, 65 surat hak milik tanah diserahkan kepada penduduk DUN Bukit Goram

Posted on 25 Sep 2026
Source of News: Utusan Borneo


Jamit (duduk empat kanan) bersama yang lain merakamkan gambar kenangan selepas majlis berkenaan

KAPIT: Sebanyak 33 warta Rizab Komunal Bumiputera di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak (KTS) dan 65 hak milik tanah individu di bawah Seksyen 18 KTS diserahkan kepada komuniti Iban dan pemilik tanah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Goram, baru-baru ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Datuk Jefferson Jamit Unyat berkata 33 warta Rizab Komunal Bumiputera itu melibatkan kawasan penempatan rumah panjang di Sungai Tau, Sungai Yong dan Sungai Kapit.

Beliau berkata kawasan yang disukat dari Sungai Tau hingga Sungai Yong meliputi kira-kira 4,781 hektar membabitkan 20 rumah panjang manakala kawasan Sungai Kapit meliputi kira-kira 6,317 hektar membabitkan 13 rumah panjang.

"Kesemua warta berkenaan diserahkan kepada Tuai Rumah bagi komuniti terlibat sebagai pengiktirafan terhadap hak adat Bumiputera (NCR) mereka," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 dan hak milik tanah Seksyen 18 serta tanggungjawab sosial korporat (CSR) di Dewan Masyarakat Melayu Bleteh, di sini.

Jamit yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram berkata sebanyak 65 lot tanah individu di Sungai Menuan, Batang Rajang, meliputi kawasan kira-kira 152.43 hektar turut menerima hak milik tanah di bawah Seksyen 18 KTS yang diserahkan kepada 49 pemilik tanah.

Beliau berkata inisiatif pengukuran tanah NCR yang dilaksanakan kerajaan Sarawak sejak 2010 itu merupakan usaha berterusan bagi mengiktiraf, melindungi dan memelihara hak tanah adat komuniti Bumiputera.

Menurutnya, pengukuran tanah NCR dilaksanakan dalam dua peringkat iaitu pengukuran sempadan kawasan NCR diikuti pengukuran lot tanah individu.

"Kerjasama pemilik tanah dan komuniti rumah panjang amat penting bagi memastikan proses pengukuran berjalan lancar manakala ketua masyarakat dan Tuai Rumah memainkan peranan penting dalam membantu Jabatan Tanah dan Survei mengelakkan pertikaian tanah," ujarnya.

Jamit berkata sebelum kerja pengukuran dimulakan, Jabatan Tanah dan Survei (JTS) mengadakan dialog dengan penduduk di kawasan yang diluluskan termasuk dialog meja bulat dan dialog di lapangan yang turut dihadiri pegawai daerah serta ketua masyarakat.

Beliau berkata kerja pengukuran akan ditangguhkan sekiranya kawasan berkenaan terbabit dalam pertikaian sehingga kes tersebut diselesaikan atau ditarik balik, kerana perkara itu boleh menyebabkan kelewatan dalam proses pengukuran.

Beliau turut menjelaskan bahawa pemilik tanah yang memperoleh hak milik di bawah Seksyen 18 menikmati beberapa manfaat termasuk pengecualian cukai tanah tahunan dan premium tanah, kos pengukuran percuma, hak milik tanpa tempoh luput serta nilai pasaran tanah yang lebih tinggi selain memberi jaminan terhadap pemilikan tanah.

Pada majlis sama, dua cek Dana Amanah CSR turut diserahkan, masing-masing RM10,000 kepada Sekolah Kebangsaan Nanga Yong dan RM12,000 kepada pengurusan Masjid Jamek Kampung Baru, Kapit.

Jamit turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Tanah dan Survei atas usaha memastikan dasar pengukuran tanah NCR kerajaan Sarawak dilaksanakan dengan berkesan.

Turut hadir ialah Residen Kapit Elvis Didit dan Pegawai Daerah Kapit Thomas Geoffery Kandawang.



Best view using Mozilla Firefox and Google Chrome with web view resolution 1920 x 1080. | © Copyright of the Land and Survey Department, Sarawak (JTS). 

Copyright of this website and its contents but limited to the information, text, images, graphics, sound files, video files and their arrangement, and material therein, is owned by the owner of this website unless otherwise indicated. No part or parts of this website may be modified, copied, distributed, retransmitted, broadcasted, displayed, reproduced, published, licensed, transferred, sold or commercially dealt with in any manner without the express prior written consent of the owner of this website.


Last Updated On 25 Sep 2026

Operating Hours

Monday - Thursday
8:00am to 1:00pm & 2:00pm to 5:00pm

Friday
8:00am to 11:45am & 2:15pm to 5:00pm

Saturday, Sunday & Public Holiday
Counter Closed

image Polls
image Announcement