LEN TALIF, Mohamad dan Friday bergambar kenangan bersama-sama sebahagian penerima.
SARATOK: Kerajaan Sarawak menyerahkan 520 surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak (KTS) kepada 429 penerima di tiga kawasan di Saratok.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, penyerahan itu membabitkan kawasan Entebu/Selambong, Kabo dan Budu di Krian serta Kampung Sepuk di Krian Tengah.
Menurutnya, penyerahan tersebut menjadi satu perkembangan penting kepada penerima kerana memberikan kepastian dari segi sempadan dan pemilikan tanah yang selama ini diwarisi, didiami serta diusahakan.
“Pada hari ini, kita menyaksikan penyerahan 520 surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 KTS kepada 429 orang penerima.
“Saya berharap penyerahan surat hak milik tanah ini akan membawa satu sinar baharu kepada para penerima.
“Inilah hasil yang kita mahukan, daripada tanah yang selama ini diwarisi, didiami dan diusahakan, akhirnya mempunyai dokumen hak milik yang memberikan kepastian dari segi sempadan dan pemilikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 KTS bagi Kawasan Krian di sini, hari ini.
ADUN Kuala Rajang itu menjelas lanjut, pemilikan sah tanah bukan sekadar memberikan dokumen kepada penerima, malah membawa pengiktirafan, kepastian dan amanah untuk dimanfaatkan demi masa depan.
Menurutnya, kerajaan komited mempercepat kerja-kerja pengukuran tanah, namun usaha itu memerlukan kerjasama penuh daripada pemilik dan penuntut tanah, khususnya dalam memastikan proses pengukuran dapat dilaksanakan dengan lancar.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua penuntut tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) supaya tidak menangguhkan proses pengukuran dan terus memberikan kerjasama kepada Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak.
Katanya, kerjasama berkenaan penting bagi memastikan proses pengukuran dapat dilaksanakan dengan lebih cepat, teratur dan lancar.