News

 

Kerajaan percepat proses pengukuran NCR demi menjamin hak rakyat: Len Talif

Posted on 28 Aug 2026
Source of News: Utusan Borneo

Len Talif dan tetamu kehormat yang lain bersama para penerima Surat Hak Milik Tanah di Saratok, hari ini. - Gambar JTS Betong

SARATOK: Kerajaan Sarawak terus mempercepatkan proses pengukuran Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) sebagai usaha memastikan hak pemilikan rakyat lebih terjamin, selain memberi kepastian terhadap sempadan dan rekod tanah.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh berkata, isu tanah NCR tidak pernah dipandang ringan kerana tanah merupakan warisan, sumber kehidupan dan aset ekonomi yang amat bernilai kepada keluarga serta masyarakat.

Menurutnya, komitmen itu diterjemahkan melalui Program Pengukuran Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) yang diperkenalkan pada 2010 dan dilaksanakan dalam dua peringkat.

“Peringkat pertama melibatkan pengukuran perimeter dan pewartaan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak sebagai Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian), manakala peringkat kedua melibatkan pengukuran lot individu serta pengeluaran Surat Hak Milik Tanah di bawah Seksyen 18.

“Kedua-dua peringkat ini saling melengkapi, dengan peringkat pertama memberikan kejelasan kawasan dan sempadan, manakala peringkat kedua memberikan hak milik secara individu,” katanya.
 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan Surat Hak Milik Tanah di Saratok, hari ini.

Len Talif berkata, sehingga 31 Julai 2026, Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak telah melaksanakan pengukuran perimeter kira-kira 1.24 juta hektar atau 3.06 juta ekar di seluruh Sarawak.

Daripada jumlah itu, katanya, kira-kira 967,842 hektar atau 2.39 juta ekar telah diwartakan.

“Bagi pengukuran lot individu pula, sebanyak 111,885 lot telah berjaya diukur melibatkan kawasan seluas 134,079 hektar atau 331,316 ekar.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 39,670 lot telah dikeluarkan Surat Hak Milik Tanah di bawah Seksyen 18, melibatkan kawasan seluas 54,960 hektar atau 135,809 ekar,” katanya.
 

Pada majlis tersebut, sebanyak 520 Surat Hak Milik Tanah diserahkan kepada 429 penerima dari kawasan Entebu/Selambong, Kabo, Budu, Krian dan Kampung Sepuk.

Daripada jumlah itu, 179 surat hak milik diserahkan kepada 121 penerima komuniti Iban di kawasan Entebu/Selambong, manakala 289 surat kepada 264 penerima komuniti Iban di Kabo, Budu, Krian dan Saratok serta 52 surat kepada 44 penerima komuniti Melayu di Kampung Sepuk, Krian dan Tengah, Saratok.

Len Talif berkata, penyerahan itu bukan sekadar membabitkan dokumen pemilikan, sebaliknya memberikan kepastian, pengiktirafan dan perlindungan terhadap tanah yang selama ini diwarisi, didiami serta diusahakan rakyat.

Beliau turut menjelaskan, pengukuran NCR tidak dilakukan secara sewenang-wenangnya, sebaliknya hanya dilaksanakan selepas permohonan dikemukakan oleh penuntut dan disemak berdasarkan peruntukan undang-undang serta bukti yang sah.

“Sekiranya tanah masih melibatkan pertikaian atau kes yang sedang dibicarakan di mahkamah, kerja pengukuran tidak akan dilaksanakan sehingga pertikaian tersebut diselesaikan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru pemilik dan penuntut tanah NCR supaya memberikan kerjasama kepada Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, termasuk bersedia untuk diukur, membantu merintis sempadan serta memastikan pemilik tanah bersempadan hadir ketika kerja pengukuran dijalankan.

Dalam pada itu, Len Talif menegaskan persepsi bahawa pengukuran perimeter dan pewartaan di bawah Seksyen 6 merupakan usaha kerajaan mengambil atau merampas tanah rakyat adalah tidak benar.

Sebaliknya katanya, proses tersebut bertujuan mengenal pasti, merekod, melindungi dan menguruskan kawasan NCR yang telah diiktiraf secara lebih teratur sebelum diteruskan dengan pengukuran lot individu dan pengeluaran hak milik di bawah Seksyen 18.

Beliau berkata, Surat Hak Milik Tanah di bawah Seksyen 18 turut memberikan keistimewaan kepada pemilik, antaranya, tidak dikenakan cukai tanah, dikecualikan daripada bayaran premium dan tempoh pegangan secara kekal.

Pada masa sama, beliau mengingatkan penerima supaya melihat tanah yang telah diberikan hak milik sebagai aset warisan yang perlu dipelihara dan dimanfaatkan untuk kepentingan generasi akan datang.

“Jangan mudah menjual tanah hanya kerana keuntungan jangka pendek.

"Wang hasil jualan mungkin dapat dibelanjakan dalam masa yang singkat, tetapi tanah yang dijual mungkin tidak dapat diperoleh kembali.

“Sebaliknya, usahakan dan bangunkan tanah tersebut supaya ia menjadi sumber pendapatan berterusan serta memberikan jaminan ekonomi kepada keluarga,” katanya.

Beliau turut menggalakkan pemilik tanah memanfaatkan pelbagai bantuan dan inisiatif kerajaan dalam bidang pertanian, termasuk program Modenisasi Pertanian melalui Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD).

Menurutnya, kerajaan mahu tanah yang telah mempunyai hak milik jelas bukan sekadar kekal sebagai aset, tetapi dibangunkan secara produktif sehingga mampu menjana pendapatan dan meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Tanah yang diwarisi perlu berkembang menjadi sumber kekuatan ekonomi keluarga, bukan sekadar menjadi aset yang tidak dimanfaatkan,” katanya lagi.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian Friday Belik, ADUN Kalaka Mohamad Duri, Residen Bahagian Betong Dato Richard Michael Abunawas, Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Betong TPR Moris Nayup, Pegawai Daerah Saratok Muhammad Dino dan Setiausaha Majlis Daerah Saratok McCrea Joseph.



Best view using Mozilla Firefox and Google Chrome with web view resolution 1920 x 1080. | © Copyright of the Land and Survey Department, Sarawak (JTS). 

Copyright of this website and its contents but limited to the information, text, images, graphics, sound files, video files and their arrangement, and material therein, is owned by the owner of this website unless otherwise indicated. No part or parts of this website may be modified, copied, distributed, retransmitted, broadcasted, displayed, reproduced, published, licensed, transferred, sold or commercially dealt with in any manner without the express prior written consent of the owner of this website.


Last Updated On 29 Aug 2026

Operating Hours

Monday - Thursday
8:00am to 1:00pm & 2:00pm to 5:00pm

Friday
8:00am to 11:45am & 2:15pm to 5:00pm

Saturday, Sunday & Public Holiday
Counter Closed

image Polls
image Announcement