PERTAHAN KEDAULATAN TANAH TANGGUNGJAWAB SETIAP PENJAWAT AWAM JTS - PENGARAH JTS
Posted on 06 Aug 2026
Source of News: Unit Perhubungan Awam, Ibu Pejabat Tanah dan Survei sarawak
PERTAHAN KEDAULATAN TANAH TANGGUNGJAWAB SETIAP PENJAWAT AWAM JTS - PENGARAH JTS
MIRI, 5 OGOS 2026 — Setiap warga Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (JTS) perlu menghayati bahawa tugas mengurus dan mentadbir tanah bukan sekadar tanggungjawab pentadbiran, malah merupakan satu amanah besar dalam mempertahankan kedaulatan negeri Sarawak.
Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, Datu Awang Zamhari bin Awang Mahmood, berkata pemahaman terhadap kepentingan tanah sebagai aset strategik negeri perlu disemai dalam setiap warga jabatan kerana tanah bukan sahaja menjadi asas kepada pembangunan, malah melambangkan kedaulatan serta masa depan Sarawak.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Program Level Up: Memperkasa Nadi Perkhidmatan Siri 2 Tahun 2026 yang menghimpunkan 300 kakitangan kumpulan pelaksana Jabatan Tanah dan Survei Sarawak dari seluruh negeri di Miri baru-baru ini. Program selama dua hari itu dianjurkan sebagai platform pembangunan modal insan bagi memperkukuh kompetensi, integriti dan semangat kebersamaan dalam kalangan warga jabatan.
Program dimulakan pada hari pertama dengan aktiviti pembinaan pasukan (team building) yang dikendalikan oleh WRK Learning Development di bawah pimpinan Encik Ahmad Rusdi bin Shamshuddin. Aktiviti tersebut memberi penekanan kepada pembentukan semangat kerja berpasukan, komunikasi berkesan, kepimpinan serta kerjasama strategik dalam organisasi, selaras dengan hasrat jabatan untuk membentuk tenaga kerja yang lebih dinamik dan berprestasi tinggi.
Memasuki hari kedua, peserta didedahkan dengan sesi taklimat oleh Unit Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia (HRDMU) yang disampaikan oleh Encik Jemang Lipan Pengurus Kanan dari Transnational Insurance Brokers yang memfokuskan kepada kemudahan serta kebajikan penjawat awam, termasuk penerangan mengenai elaun, kemudahan pinjaman dan perlindungan insurans.
Sesi ini bertujuan meningkatkan kefahaman warga jabatan terhadap kemudahan yang disediakan kerajaan sekali gus memperkukuh kesejahteraan dan motivasi dalam perkhidmatan. Kemuncak program diteruskan dengan Majlis Amanat Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, yang menjadi platform bagi menyampaikan hala tuju, aspirasi serta harapan pengurusan tertinggi terhadap seluruh warga jabatan dalam mendukung agenda pembangunan Sarawak.
Dalam amanatnya, Datu Awang Zamhari menegaskan bahawa setiap penjawat awam di Jabatan Tanah dan Survei Sarawak perlu memahami bahawa perkataan "tanah" sendiri diberi penekanan dalam lagu kebesaran negeri Ibu Pertiwiku, sekali gus mencerminkan betapa pentingnya tanah kepada identiti dan kedaulatan Sarawak. "Kita bukan sekadar mengurus fail atau melaksanakan tugas harian. Kita sebenarnya mengurus satu amanah yang berkait secara langsung dengan kedaulatan negeri Sarawak. Tanah bukan perkara kecil, sebaliknya menjadi asas kepada sempadan, pembangunan dan masa depan negeri," katanya. Beliau berkata setiap tindakan warga jabatan, sama ada melibatkan pengukuran tanah, penilaian, perancangan, pendaftaran hak milik mahupun penguatkuasaan, memberi impak besar terhadap pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat.
Oleh itu, setiap tugas perlu dilaksanakan dengan penuh integriti, ketelitian dan profesionalisme kerana sebarang kesilapan mampu memberi implikasi kepada hak milik tanah, sempadan pentadbiran serta pelaksanaan projek pembangunan. Menurut beliau lagi, kejayaan Jabatan Tanah dan Survei Sarawak bergantung kepada kerjasama seluruh warga jabatan tanpa mengira jawatan atau gred perkhidmatan. Setiap kakitangan merupakan sebahagian daripada rantaian penyampaian perkhidmatan yang saling melengkapi, bermula daripada proses perancangan, pengukuran, penilaian, pengambilan balik tanah sehingga pelaksanaan projek pembangunan. "Tiada tugasan yang kecil dalam organisasi ini. Setiap pegawai dan kakitangan memainkan peranan penting dalam memastikan agenda pembangunan negeri dapat dilaksanakan dengan lancar. Kejayaan sesebuah projek bermula daripada komitmen setiap individu," katanya.
Beliau turut menyeru seluruh warga jabatan agar memperkukuh budaya kolaborasi merentas seksyen, mengamalkan komunikasi yang berkesan serta mengelakkan budaya bekerja secara silo demi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat sentiasa berada pada tahap terbaik.
Selain itu, beliau memaklumkan bahawa skop pengurusan tanah kini semakin berkembang melalui pembangunan Marine Cadastre, iaitu sistem pengurusan kadaster kawasan laut yang bakal memperkukuh pentadbiran kawasan pelantar benua Sarawak. Inisiatif tersebut membuktikan bahawa peranan Jabatan Tanah dan Survei Sarawak kini melangkaui kawasan daratan dan semakin penting dalam menyokong pembangunan ekonomi serta menjaga kepentingan strategik negeri.
Program turut dimeriahkan dengan sesi yang paling dinanti-nantikan pada sebelah petang menerusi "Bicara Inspirasi Bersama Bella Astillah: Bangkit, Berani dan Bersinar." Kehadiran selebriti tanah air itu memberi suntikan motivasi kepada para peserta apabila beliau berkongsi pengalaman menghadapi pelbagai cabaran kehidupan, membina semula keyakinan diri serta pentingnya kekuatan mental, ketabahan dan sikap positif dalam mencapai kejayaan.
Perkongsian tersebut mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada peserta dan melengkapkan objektif Program Level Up yang bukan sahaja memberi penekanan kepada pembangunan kompetensi dan pengetahuan, malah turut menyentuh aspek kesejahteraan emosi, daya tahan diri serta inspirasi untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Bagi menghargai komitmen, kepimpinan dan semangat kerjasama yang ditunjukkan sepanjang program, majlis turut menyampaikan beberapa anugerah khas kepada peserta cemerlang. Anugerah Kepimpinan Terbaik telah dianugerahkan kepada Encik Nur Izzam bin Azlan dari Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Miri atas keupayaannya mempamerkan ciri-ciri kepimpinan yang cemerlang sepanjang aktiviti program. Sementara itu, Anugerah Peserta Paling Supporting disandang oleh Encik Jefferydin bin Ismail, juga dari JTS Miri, sebagai pengiktirafan terhadap semangat kesukanan, kerjasama dan sokongan luar biasa yang ditunjukkan sepanjang program berlangsung.
Bagi kategori Kumpulan Terbaik, Terra Collective dinobatkan sebagai pemenang hasil komitmen, kreativiti, kerjasama serta prestasi cemerlang yang dipamerkan sepanjang program berlangsung.
Penganjuran Program Level Up: Memperkasa Nadi Perkhidmatan Siri 2 Tahun 2026 mencerminkan komitmen berterusan Jabatan Tanah dan Survei Sarawak dalam melahirkan penjawat awam yang kompeten, berintegriti, berdaya tahan dan bersedia mendukung agenda pembangunan Sarawak melalui penyampaian perkhidmatan yang cemerlang, responsif dan berimpak tinggi.
