Awang Zamhari bersama pihak pengurusan tertinggi yang lain merasmikan Logo Level Up baharu pada majlis, Khamis.
KUCHING: Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak terus memperkukuhkan pembangunan modal insan apabila seramai 300 warga Kumpulan Pelaksana menyertai Program Level Up: Memperkasa Nadi Perkhidmatan yang berlangsung selama dua hari di Imperial Hotel Kuching, bermula 1 hingga 2 Julai lalu.
Memasuki penganjuran tahun kedua, program tersebut membuktikan komitmen berterusan JTS Sarawak dalam memperkasa kompetensi, jati diri, integriti dan profesionalisme warga pelaksana yang menjadi tulang belakang kepada penyampaian perkhidmatan berkualiti kepada rakyat.
Pengarah Tanah dan Survei Sarawak, Datu Awang Zamhari Awang Mahmood berkata, program itu bukan sekadar memenuhi keperluan latihan tahunan, sebaliknya merupakan pelaburan strategik jabatan terhadap aset paling bernilai, iaitu modal insan.
“Bangunan, teknologi dan sistem hanyalah pemangkin, namun kekuatan sebenar jabatan terletak pada warga kerjanya sendiri.
“Justeru, program ini menjadi platform penting untuk meningkatkan kompetensi, nilai profesionalisme serta kesiapsiagaan warga pelaksana dalam mendepani cabaran semasa,” katanya ketika menyampaikan amanat pada program berkenaan.
Beliau menegaskan setiap warga jabatan, tanpa mengira jawatan, memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran operasi serta penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Menurutnya, kumpulan pelaksana bukan sekadar menyokong operasi organisasi, malah merupakan nadi yang menggerakkan keseluruhan ekosistem Jabatan Tanah dan Survei Sarawak.
“Jangan sesekali menganggap tugas yang dilaksanakan adalah kecil. Sama ada bertugas di kaunter, di lapangan, mengurus fail, memandu kenderaan mahupun menyokong pentadbiran, semuanya menyumbang secara signifikan kepada sistem penyampaian perkhidmatan yang cekap, berintegriti dan berkesan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa landskap perkhidmatan awam kini semakin mencabar dengan ekspektasi rakyat yang semakin tinggi.
Ia sekali gus menuntut setiap warga jabatan agar sentiasa meningkatkan kompetensi, mengadaptasi teknologi serta mengukuhkan pemikiran kritikal tanpa mengabaikan nilai integriti.
Antara aksi peserta sepanjang Sesi Team Building untuk Program Level Up 2026 siri 1
Mengambil inspirasi daripada aspirasi 3R Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak iaitu Revisit, Rethink dan Recharge, beliau menyeru seluruh warga jabatan supaya terus memperbaharui ilmu, meningkatkan kemahiran dan membudayakan prestasi kerja cemerlang bagi memastikan jabatan kekal relevan dalam menyokong agenda pembangunan negeri.
Dalam pada itu, beliau berkata peranan JTS Sarawak kini semakin signifikan selaras dengan kepesatan pembangunan negeri, termasuk dalam pengurusan tanah bagi projek strategik, pembangunan ekonomi baharu, pengurusan sumber asli serta pembangunan kawasan daratan dan maritim.
“Kita tidak mahu jabatan menjadi penghalang kepada pembangunan. Sebaliknya, kita mesti menjadi pemudah cara yang mampu menyampaikan perkhidmatan secara pantas, cekap, berintegriti dan berkesan demi kemajuan Sarawak,” ujarnya.
Sepanjang dua hari program berlangsung, peserta mengikuti pelbagai pengisian yang memfokuskan kepada pembangunan sahsiah, peningkatan kompetensi serta kesejahteraan warga kerja.
Majlis turut menyaksikan pelancaran logo baharu Program Level Up serta penyampaian beberapa anugerah kepada peserta cemerlang.
Saidie Ludin dari JTS Samarahan menerima Anugerah Kepimpinan Terbaik, manakala Muhammad Ramadani Suhaimi dinobatkan sebagai Peserta Paling Supporting, sementara Kumpulan NJC muncul sebagai Kumpulan Terbaik.
Hari pertama program diisi dengan aktiviti pembinaan pasukan yang dikendalikan WRK Learning Development Group diketuai Ahmad Rusdi Shamshuddin, dengan penekanan terhadap semangat berpasukan, kepimpinan dan komunikasi berkesan.
Pada hari kedua, peserta mengikuti Taklimat Kemudahan Dalam Perkhidmatan Awam Sarawak yang disampaikan oleh Puan Sherrylyn Willsonce Lahung Jok daripada Seksyen Kemudahan, Unit Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia Jabatan Premier Sarawak.
Turut diadakan Ceramah Integriti bertajuk Sekadar Tanda Terima Kasih? Bila Hadiah Menjadi Risiko Integriti oleh Puan Hajah Majenah Lass daripada Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (MUDENR), yang memberi penekanan terhadap kepentingan integriti serta pematuhan etika dalam kalangan penjawat awam.
Program itu turut diserikan dengan ceramah kesihatan bertajuk Kesihatan Jantung Anda yang disampaikan oleh doktor perubatan dan aktivis kesihatan, Dr Malar Sathi Santherasegapan, mengenai kepentingan penjagaan kesihatan jantung sebagai asas kepada produktiviti serta kesejahteraan warga kerja.
Program Level Up: Memperkasa Nadi Perkhidmatan merupakan antara inisiatif strategik JTS Sarawak dalam melahirkan warga kerja yang kompeten, berintegriti, berdaya tahan dan sentiasa bersedia meningkatkan prestasi diri, sekali gus memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan awam selaras dengan aspirasi Sarawak Maju Makmur.