PROGRAM LEVEL UP JTS: MELONJAKKAN KOMPETENSI 300 WARGA KUMPULAN PELAKSANA
Posted on 04 Jul 2026
Source of News: Unit Perhubungan Awam, Ibu Pejabat Tanah dan Survei Sarawak
KUCHING, 2 Julai – Jabatan Tanah dan Survei Sarawak terus memperkukuhkan
pembangunan modal insan apabila seramai 300 warga Kumpulan Pelaksana menyertai
Program Level Up: Memperkasa Nadi Perkhidmatan yang berlangsung selama dua hari
bermula 1 hingga 2 Julai 2026 di Imperial Hotel Kuching.
Program yang memasuki penganjuran tahun kedua itu membuktikan komitmen
berterusan Jabatan dalam memperkasa kompetensi, jati diri, integriti dan profesionalisme
warga pelaksana yang menjadi tunjang kepada penyampaian perkhidmatan berkualiti
kepada rakyat.
Pengarah Tanah dan Survei Sarawak Datu Awang Zamhari bin Awang Mahmood dalam
amanatnya menegaskan bahawa program tersebut bukan sekadar memenuhi keperluan
latihan tahunan, sebaliknya merupakan satu pelaburan strategik Jabatan terhadap aset
paling bernilai iaitu modal insan.
"Program ini bukan sekadar untuk melengkapkan jam latihan tahunan, tetapi
merupakan pelaburan Jabatan terhadap aset yang paling penting iaitu sumber
manusia. Bangunan, teknologi dan sistem hanyalah pemangkin, namun kekuatan
sebenar Jabatan adalah warga kerjanya sendiri," katanya.
Beliau berkata, setiap warga Jabatan tanpa mengira jawatan mempunyai peranan yang
sama penting dalam memastikan kelancaran operasi serta penyampaian perkhidmatan
kepada rakyat. Menurut beliau, kumpulan pelaksana bukan sekadar menyokong operasi
organisasi, malah merupakan nadi yang menggerakkan keseluruhan ekosistem Jabatan
Tanah dan Survei Sarawak.
"Jangan sesekali menganggap tugas yang dilaksanakan adalah kecil. Sama ada
bertugas di kaunter, di lapangan, mengurus fail, memandu kenderaan, membantu
operasi atau menyokong pentadbiran, semuanya memainkan peranan yang amat
signifikan dalam memastikan sistem penyampaian Jabatan berjalan dengan cekap,
berintegriti dan berkesan."
Beliau turut mengingatkan bahawa landskap perkhidmatan awam kini semakin mencabar
dengan ekspektasi rakyat yang semakin tinggi, sekali gus memerlukan setiap warga
Jabatan sentiasa bersedia melakukan perubahan, meningkatkan kompetensi dan
mengadaptasi teknologi tanpa mengabaikan pemikiran kritikal serta nilai integriti.
Mengambil inspirasi daripada aspirasi 3R – Revisit, Rethink dan Recharge
Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak, beliau menyeru seluruh warga Jabatan untuk terus
memperbaharui ilmu, mempertingkatkan kemahiran dan memperkukuh budaya kerja
berprestasi tinggi agar Jabatan kekal relevan dalam menyokong agenda pembangunan
negeri.
Beliau turut menegaskan bahawa peranan Jabatan Tanah dan Survei Sarawak kini
semakin luas selaras dengan kepesatan pembangunan Sarawak, termasuk pengurusan
tanah bagi projek-projek strategik negeri, pembangunan ekonomi baharu, pengurusan
sumber asli serta pembangunan kawasan daratan dan maritim.
"Kita tidak mahu Jabatan menjadi penghalang kepada pembangunan. Sebaliknya,
kita mesti menjadi pemudah cara yang mampu menyampaikan perkhidmatan dengan
pantas, cekap, berintegriti dan berkesan demi kemajuan Sarawak."
Sepanjang program berlangsung, peserta mengikuti pelbagai pengisian yang memberi
tumpuan kepada pembangunan sahsiah, kompetensi dan kesejahteraan warga kerja.
Dalam majlis berkenaan pelancaran logo baharu program turut diadakan dan
penyampaian beberapa anugerah turut disampaikan. Bagi Anugerah Kepimpinan Terbaik
telah dianugerahkan kepada Encik Saidie bin Hj. Ludin dari JTS Samarahan, Anugerah
Peserta Paling Supporting diberikan kepada Encik Muhammad Ramadani bin Suhaimi dan
Kumpulan Terbaik dianugerahkan kepada kumpulan NJC.
Hari pertama program dimulakan dengan aktiviti Team Building yang dikendalikan oleh
WRK Learning Development Group diketuai oleh Encik Ahmad Rusdi Shamshuddin, yang
memberi penekanan kepada pembinaan semangat berpasukan, kepimpinan dan
komunikasi berkesan.
Hari kedua diteruskan dengan Taklimat Kemudahan Dalam Perkhidmatan Awam
Sarawak (SCS) yang disampaikan oleh Puan Sherrylyn Willsonce Lahung Jok daripada
Seksyen Kemudahan Unit Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia (HRDMU)
Jabatan Premier Sarawak bagi meningkatkan kefahaman peserta mengenai kemudahan
serta pembangunan kerjaya dalam Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak.
Peserta turut mengikuti Ceramah Integriti bertajuk "Sekadar Tanda Terima Kasih? Bila
Hadiah Menjadi Risiko Integriti" yang disampaikan oleh Puan Hajah Majenah binti
Lass daripada Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (MUDENR), yang
menekankan kepentingan integriti serta pematuhan etika dalam melaksanakan amanah
sebagai penjawat awam.
Program turut diserikan dengan Ceramah Kesihatan Jantung Anda oleh Dr. Malar
Sathi Santherasegapan, seorang doktor perubatan, aktivis kesihatan dan pempengaruh
media sosial yang turut hadir memberi penekanan kepada kepentingan penjagaan
kesihatan jantung sebagai asas kepada produktiviti dan kesejahteraan warga kerja.
Program Level Up: Memperkasa Nadi Perkhidmatan merupakan antara inisiatif strategik
Jabatan Tanah dan Survei Sarawak dalam melahirkan warga kerja yang kompeten,
berintegriti, berdaya tahan dan sentiasa bersedia meningkatkan prestasi diri.
Selaras dengan tema program, seluruh warga Jabatan diseru untuk terus "Level Up"
daripada aspek ilmu, kemahiran, disiplin, integriti, kepimpinan dan kerjasama agar
penyampaian perkhidmatan awam terus diperkasakan, sekali gus menyokong aspirasi