News

 

Pengukuran NCR hanya dilaksana atas permohonan pemilik tanah: Awang Tengah

Posted on 30 Jun 2026
Source of News: Utusan Borneo



Awang Tengah (empat kiri) menyempurnakan simbolik penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak kepada salah seorang penerima. Turut kelihatan (dari tiga kanan) Mong dan Harden.

KUCHING: Pengukuran tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) hanya dilaksanakan setelah mendapat permohonan daripada penuntut tanah, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau berkata, permohonan yang dihantar akan disemak berdasarkan perundangan dan bukti sahih sebelum diluluskan untuk disukat.

“Mana-mana tanah NCR yang masih melibatkan pertikaian dan perbicaraan di mahkamah, kerja pengukuran tidak akan dilaksanakan melainkan kes tersebut telah ditarik balik.

“Penuntut perlu memohon semula untuk penyukatan tanah NCR ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 dan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak Bahagian Sri Aman di Dewan Suarah Sri Aman, hari ini.

Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II berkata, proses pengukuran hanya akan berjalan lancar jika pemilik tanah memenuhi syarat-syarat seperti bersedia dan setuju tanah disukat.

Selain itu katanya, pemilik mesti turun padang dan menanda sempadan dengan jelas, tanah tidak terlibat dalam rebutan atau kes mahkamah dan pemilik tanah yang berkongsi sempadan wajib bersama semasa proses penyukatan.

Awang Tengah turut menafikan dakwaan Kerajaan Sarawak merampas tanah melalui pengukuran perimeter dan perwartaan Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak.

Beliau menegaskan dakwaan itu tidak benar dan perlu diperbetulkan.

“Sebaliknya langkah pengukuran di bawah Seksyen 6, dilaksanakan bagi memastikan tanah yang diiktiraf dapat dilindungi dan diurus secara teratur demi kepentingan pemilik tanah NCR dan generasi akan datang,” ujarnya.

Awang Tengah berkata setelah Warta Rizab Komunal Bumiputera di bawah Seksyen 6 dikeluarkan, maka langkah seterusnya ialah pengukuran tanah secara lot individu dan dikeluarkan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18.

 

Menurut beliau, keistimewaan Surat Hak Milik Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak ialah ia tidak dikenakan cukai tanah, dikecualikan premium dan tempoh pegangnya kekal.

“Inilah komitmen dan janji kerajaan. Semua ini adalah untuk kepentingan rakyat,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Awang Tengah berkata Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak telah berjaya menyukat secara perimeter tanah NCR seluas kira-kira 1.24 juta hektar (3.059 juta ekar) di seluruh bahagian di negeri ini.

Beliau memberitahu daripada jumlah itu, 966,938 hektar atau 2.3 juta ekar telah diwartakan.

Manakala bagi pengukuran lot individu katanya, setakat 31 Mei 2026, sebanyak 111,166 lot telah berjaya diukur melibatkan kawasan seluas 133,140 hektar.

“Sebanyak 37,221 lot telah dikeluarkan surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak yang berkeluasan 52,667 hektar,” katanya.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat yang juga ADUN Simanggang Datuk Francis Harden Hollis, ADUN Bukit Begunan Datuk Mong Dagang dan pegawai-pegawai kanan JTS.



image Polls
image Announcement