SIMANGGANG: Taman Perindustrian Sri Aman bakal menjadi pemangkin baharu kepada pembangunan ekonomi di Bahagian Sri Aman apabila empat syarikat menerima surat kelulusan lot industri bagi memulakan operasi di kawasan tersebut.
Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, penyertaan syarikat berkenaan diyakini mampu merancakkan lagi aktiviti ekonomi setempat, mewujudkan peluang pekerjaan baharu serta menarik lebih banyak pelaburan ke kawasan itu.
Katanya, pembangunan taman perindustrian itu juga akan memperkukuh kerjasama strategik antara sektor swasta dengan kerajaan, sekali gus meningkatkan daya saing Sri Aman sebagai sebuah hab perindustrian di Sarawak.
“Penyertaan syarikat tersebut akan membolehkan Taman Perindustrian Sri Aman menjadi pemangkin kepada pasaran pekerjaan baharu dan meningkatkan ekonomi setempat serta membuka ruang kerjasama strategik antara pihak swasta dengan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penyampaian surat kelulusan lot industri di Bilik Mesyuarat Pejabat Residen Bahagian Sri Aman, semalam.
Empat syarikat yang menerima surat kelulusan tersebut ialah TYM Construction Sdn Bhd, Jerok Oil Palm Sdn Bhd, Hiong Huat Metal & Aluminium Sdn Bhd serta Kii Kuang Sing Development Sdn Bhd.