KUCHING: Skuad gergasi Landas FC, yang pernah mempunyai reputasi tersendiri suatu ketika dahulu, kini siap sedia mengharungi saingan Liga K-LSC 2026.
Tampil dengan wajah baharu, skuad terbabit mendapat sentuhan dua bekas pemain Sarawak, iaitu Sahrol Saperi (Ketua Jurulatih) dan Mohd. Zaidol Mohd. Zain (Penolong Jurulatih).
Landas FC musim ini mempertaruhkan gandingan pemain berpengalaman, termasuk beberapa bekas pemain yang pernah menyarung jersi Sarawak dan Kuching City, selain muka-muka baharu.
Kemunculan semula Landas FC di pentas liga berprestij itu selepas kali terakhir beraksi pada 2012 dijangka memberi cabaran kepada pasukan-pasukan lain.
Apatah lagi, pembabitan kelab berkenaan pada musim ini hadir dengan misi dan visinya yang tersendiri.
Semalam berlangsung majlis penyerahan jersi rasmi pasukan terbabit yang disempurnakan Pengarah Tanah dan Survei Sarawak, Datu Awang Zamhari Awang Mahmood, di pejabat beliau yang turut dihadiri beberapa pegawai dan pemain.
“Besar harapan kita untuk menyaksikan skuad kali ini tampil dengan prestasi terbaik.
“Selain memastikan Landas FC dapat menamatkan saingan dalam kelompok terbaik,” katanya ketika berucap ringkas pada majlis tersebut.
Beliau mengingatkan para pemain agar sentiasa berdisiplin, fokus dalam setiap perlawanan serta kekal bersemangat.
Liga K-LSC 2026 bakal menyaksikan pertembungan enam pasukan, dengan lima lagi pasukan terdiri daripada Yayasan Sarawak, ZZ United, ABF U23, TBS 23 dan KCFC Academy.
Aksi sulung Landas FC akan menentang Yayasan Sarawak pada 27 Jun ini di Padang D, Petra Jaya.