News

 

Landas Sinampuan Dinobatkan Raja Sungai Lawas 2026

Posted on 22 Jun 2026
Source of News: Ukas Sarawak


LAWAS: Pasukan Landas Sinampuan A (2) dinobatkan sebagai Raja Sungai Lawas 2026 selepas muncul juara kategori Lumba Perahu Naga 18 Piala Awang Damit Ali Hassan dalam kemuncak ‘2nd Lawas Open Dragon Boat Regatta 2026’ yang berlangsung sempena Beyond Waves and Dance Rhythms Festival di Waterfront Lawas, pada Ahad.

Kejayaan tersebut membolehkan pasukan berkenaan membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 berserta piala dan pingat.

Pasukan Wawasan Bersatu A muncul naib juara dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 berserta piala dan pingat, manakala Sri Punang Bersatu C menduduki tempat ketiga serta menerima hadiah wang tunai RM2,000 berserta piala dan pingat.

Hadiah kepada para pemenang telah disampaikan oleh Pegawai Daerah Lawas, Ladin Atok.

Selain perebutan gelaran Raja Sungai Lawas, beberapa kategori lain turut dipertandingkan dengan penyertaan pasukan dari Lawas, Sabah dan Brunei Darussalam.

Bagi kategori Lumba Perahu Naga 18 Terbuka (Akhir), pasukan Menengah Boys Sipitang, Sabah muncul juara, diikuti Landas Sinampuan A di tempat kedua dan Warisan Kuala Lawas 2 di tempat ketiga.

Dalam kategori Acara Khas Lumba Perahu Naga Bawah 21 Tahun, pasukan Sibling X PPNKL menjuarai perlumbaan, manakala Cahaya Nur Awat-Awat dan Warisan Kuala Lawas A masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.

Sementara itu, kategori Lumba Perahu Naga 12 Terbuka menyaksikan Menengah Boys Sipitang, Sabah sekali lagi mengungguli perlumbaan untuk muncul juara, diikuti Kampung Sinampuan C di tempat kedua dan Helang Setia Brunei di tempat ketiga.

Bagi kategori Lumba Perahu Naga 10 Tertutup Tempatan Kaum Cina, Sundar Chinese Dragon Boat Team meraih gelaran juara, manakala Lawas Chinese Dragon Boat Team dan Persatuan Fuchow Mix Lawas masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.

Penganjuran regatta tersebut berjaya menarik penyertaan pasukan dari pelbagai kawasan termasuk Lawas, Sabah dan Brunei Darussalam, sekali gus memeriahkan Beyond Waves and Dance Rhythms Festival 2026 serta memperkukuh kedudukan Lawas sebagai destinasi pelancongan dan sukan air di utara Sarawak.-EDISI UKAS


image Polls
image Announcement