News

 

Penjawat awam Sarawak perlu terap budaya inovasi, kreativiti depani cabaran global

Posted on 12 Jun 2026
Source of News: Utusan Borneo

Bistari Tech bergambar bersama Awang Tengah serta tetamu lain selepas diumum johan Konvensyen Kumpulan KIK MUDeNR malam Khamis.

KUCHING: Penjawat awam di Sarawak digesa untuk sentiasa menerapkan budaya inovasi dan kreativiti bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan kekal relevan dalam mendepani persekitaran global yang semakin dinamik.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menegaskan bahawa inovasi kreatif bukan sekadar memperkenalkan perkara baharu sebaliknya bertindak sebagai ejen transformasi idea kepada penyelesaian efektif yang mampu meningkatkan kecekapan organisasi.

"Inovasi kreatif adalah mengenai penjimatan kos, pengukuhan amalan urus tadbir yang baik serta peningkatan kualiti dan kepantasan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Penutupan Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Peringkat Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Tahun 2026 di sebuah hotel di Kuching malam Khamis.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Induk Konvensyen yang juga Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Datu Abdullah Julaihi, Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Wan Sufian Wan Mustapha, Pengarah Hutan Sarawak Datu Hamden Mohammad, Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) Datu Zainal Abidin Abdullah, Controller Kualiti Alam Sekitar Sarawak, Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB) Datu Jack Liam dan Pengurus Besar Sarawak Forestry Corporation (SFC) Abang Arabi Abang Aimran.

Dengan mengangkat tema 'Inovasi Kreatif, Penyelesaian Efektif', Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II serta Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan menyatakan, peraturan dan prosedur pentadbiran perlu disemak serta ditambah baik secara berkala bagi mendepani jangkaan masyarakat yang kian meningkat.

Mengulas lanjut mengenai pengurusan sumber, beliau mengingatkan bahawa setiap aset, kewangan dan kemudahan kerajaan yang diamanahkan mestilah diuruskan secara telus, berhemah, dan bertanggungjawab.

"Pengurusan sumber yang cekap bukan sahaja menyumbang kepada keberkesanan operasi malah memberi impak besar kepada mutu perkhidmatan kerajaan serta memberi nilai ekonomi yang pulangan manfaatnya kembali kepada rakyat," jelasnya.

Menyentuh cabaran global seperti transformasi digital yang pesat dan kemajuan Kecerdasan Buatan (AI), beliau melahirkan rasa bangga terhadap pencapaian kumpulan KIK Sarawak yang telah berjaya mengkomersialkan hasil inovasi ke peringkat antarabangsa.

Antara bukti kejayaan yang dilakar termasuk sistem eSPA, pendaftaran hari yang sama (Same Day Registration) yang diiktiraf ISO serta Sistem Pemantauan Ukur Pengambilan Tanah (MOSSLA) yang mewakili Sarawak ke peringkat Konvensyen Antarabangsa Mengenai Bulatan Kawalan Kualiti (ICQCC).

Beliau turut memuji inovasi 'SaraPeg' daripada Jabatan Tanah dan Survei Sarawak yang menjadi projek KIK pertama melengkapkan kitaran penuh inovasi, bermula daripada penjanaan idea, paten, pengeluaran besar-besaran sehinggalah kepada pengkomersialan.

Dalam pada itu, sejumlah 31 KIK yang bernaung dibawah kementerian seluruh Sarawak menyertai konvensyen yang diadakan buat kali keempat yang merupakan platform penting dalam memperkukuhkan budaya inovasi dan kreativiti dalam Perkhidmatan Awam Sarawak.

Melalui penglibatan aktif kumpulan-kumpulan KIK diharap mampu mencanai idea, pendekatan serta penyelesaian yang mampu meningkatkan produktiviti, memperkukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan dan meningkatkan kompetensi penjawat awam agar sentiasa relevan dalam persekitaran yang sentiasa berubah.

Terdahulu, Jabatan Tanah dan Survei Sarawak Samarahan melalui Bistari Tech muncul johan pertandingan melalui pembentangan tajuk 'Kesukaran Kerja Merintis Semasa Kerja Pengukuran Di Kawasan Muka Bumi Yang Mencabar'.

Naib johan ialah Manis Javanica dari SFC yang mengupas tajuk 'Sarawak Croc Watch: Pengurusan Konflik Manusia - Buaya di Sarawak Tidak Efisien'.

Sambil tempat ketiga milik Accurate (Jabatan Tanah dan Survei Sarawak Mukah) dengan tugasan bertajuk 'Kesukaran dan Kesilapan Pengambilan Maklumat di Lapangan Bago Tujuan Pengambilan Balik Tanah'.

Setiap pasukan membawa pulang sebuah tropi setiap satu, wang tunai dan sijil penyertaan dari penganjur.



image Polls
image Announcement