KUCHING: Inovasi yang dihasilkan Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar menerusi Konvensyen Kumpulan Inovasi dan Kreatif (KIK) mendapat tumpuan dan pujian negara.
Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kejayaan itu merupakan hasil komitmen serta kreativiti penjawat awam negeri yang sentiasa mencari kaedah baharu untuk meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat.
Menurutnya, ketika menghadiri Mesyuarat Majlis Tanah Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau memaklumkan bahawa Sarawak melaksanakan sistem pendaftaran tanah pada hari yang sama, sesuatu yang masih belum dapat dilaksanakan di banyak negeri lain.
“Mereka kagum apabila kita memaklumkan bahawa di Sarawak kita telah mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan pendaftaran tanah melalui ‘same day registration’.
“Jadi kita menjadi contoh dan semua ini berlaku hasil komitmen serta kreativiti pegawai-pegawai kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (MUDeNR) 2026 di sini, malam tadi.
Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua berkata, antara inovasi yang berjaya dilaksanakan ialah sistem e-SPA Same Day Registration yang memperoleh pensijilan ISO, selain beberapa sistem pemantauan berkaitan kerja ukur dan pengambilan tanah yang pernah mewakili Sarawak pada konvensyen antarabangsa.
Beliau turut menonjolkan inovasi Sarapeg yang dibangunkan Jabatan Tanah dan Survei sebagai antara kejayaan membanggakan kerana berjaya melalui keseluruhan proses inovasi, bermula daripada idea, pembangunan produk, pengeluaran sehingga ke peringkat pengkomersialan.
Menurutnya, kejayaan tersebut membuktikan budaya inovasi yang diterapkan dalam kalangan penjawat awam mampu menghasilkan penyelesaian yang memberi impak langsung kepada rakyat.
Katanya, dalam pelaksanaan projek pembangunan yang melibatkan pengambilan tanah, Sarawak bukan sahaja membayar pampasan kepada pemilik tanah, malah turut mengeluarkan hak milik baharu bagi tanah yang tidak terlibat dalam tempoh masa yang sama.
Beliau berkata, inovasi dan kreativiti perlu terus menjadi budaya kerja dalam sektor awam memandangkan organisasi kini berdepan pelbagai cabaran termasuk perubahan digital, perkembangan kecerdasan buatan (AI) dan peningkatan jangkaan rakyat dengan perkhidmatan yang lebih cekap serta responsif.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua penjawat awam supaya terus berani mengemukakan idea baharu dan tidak takut untuk mencuba pendekatan yang berbeza dalam menyelesaikan masalah.
Pada konvensyen tahun ini, sebanyak 31 kumpulan KIK mengambil bahagian dengan pelbagai projek inovasi yang dijangka dapat membantu memperkukuh lagi penyampaian perkhidmatan awam serta menyokong hala tuju Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS 2030).