News

 

Hampir 1.3 juta hektar tanah NCR diukur sejak inisiatif baharu diperkenal: Awang Tengah

Posted on 26 May 2026
Source of News: Utusan Borneo

Para penerima dan ketua masyarakat bergambar bersama Awang Tengah selepas Majlis Penyerahan Warta Seksyen 6 dan Geran Tanah Seksyen 18 bagi DUN Mambong, hari ini. - Gambar Chimon Upon

KUCHING: Hampir 1.3 juta hektar tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di Sarawak telah diukur sejak 2010 menerusi inisiatif baharu pengukuran tanah kerajaan negeri, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua itu berkata, pencapaian tersebut menunjukkan peningkatan ketara berbanding beberapa dekad sebelumnya apabila hanya kira-kira 260,000 hektar berjaya diukur dalam tempoh lebih 50 tahun.

“Dari tahun 1960-an hingga 2010, kita hanya berjaya mengukur kira-kira 260,000 hektar.

“Namun dari 2010 hingga tahun ini, belum pun genap 16 tahun, kita telah berjaya mengukur hampir 1.3 juta hektar,” ujarnya pada Majlis Penyerahan Warta Seksyen 6 dan Geran Tanah Seksyen 18 bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambong di Kampung Garung di Padawan, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata, hampir 970,000 hektar telah diwartakan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak, manakala hampir 110,000 hektar lagi telah dikeluarkan geran individu di bawah Seksyen 18.

Menurut Awang Tengah, kerajaan negeri memperkenalkan Inisiatif Baharu Pengukuran Tanah NCR pada 2010 bagi mempercepatkan proses pengiktirafan melalui pendekatan dua peringkat yang melibatkan pengukuran perimeter dan pengukuran lot individu.

Beliau menegaskan program itu dilaksanakan berdasarkan permohonan dan selaras dengan undang-undang sedia ada.

“Kita sentiasa mengiktiraf tanah NCR selagi terdapat bukti mencukupi dan ia berasaskan undang-undang yang berkuat kuasa.

“Kita bukan sahaja mengiktiraf tanah NCR, malah membantu melaksanakan kerja-kerja pengukuran,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menolak dakwaan yang tular di media sosial kononnya kerajaan mengabaikan isu tanah NCR.

“Kadang-kadang kita melihat pelbagai perkara di media sosial yang mengatakan kerajaan tidak menjalankan tugas. Namun hari ini, rakyat boleh melihat sendiri apa yang telah dicapai,” katanya.

Awang Tengah turut memaklumkan Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM40 juta untuk meneruskan usaha pengukuran tanah NCR, berbanding RM2 juta yang diterima daripada Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut menanggung kos petugas dan operasi pengukuran tanpa mengenakan bayaran kepada pemilik tanah.

“Geran yang dikeluarkan tidak memerlukan bayaran untuk kerja ukur, bayaran tahunan atau premium. Geran itu adalah kekal, selagi ada matahari dan bulan, melainkan pemilik sendiri mahu menjual tanah tersebut,” katanya.

Pada majlis itu, Awang Tengah menyerahkan 684 geran tanah Seksyen 18 melibatkan 517 penerima dari Kampung Git, Kampung Nyiru Grait dan Kampung Emperoh Garung di bawah Inisiatif Baharu Pengukuran Lot Individu NCR.

Beliau turut menyerahkan warta rizab komuniti Seksyen 6 melibatkan kawasan seluas 1,440.3 hektar bagi Kampung Karu dan Kampung Abang.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pengangkutan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong Datuk Dr Jerip Susil serta ketua-ketua masyarakat.



image Polls
image Announcement