KUCHING: Kerja-kerja mengukur tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) tidak akan dilaksanakan sekiranya masih melibatkan pertikaian atau perbicaraan di mahkamah sehingga kes berkenaan diselesaikan atau ditarik balik secara rasmi.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh berkata, langkah itu penting bagi memastikan proses pengukuran tanah NCR dapat dilaksanakan secara teratur, telus dan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
“Penuntut tanah NCR perlu mengemukakan permohonan baharu kepada Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak sekiranya ingin menyertai semula Program Pengukuran Tanah NCR selepas pertikaian selesai.
“Kerja pengukuran tidak dapat dilaksanakan bagi kes yang masih dalam pertikaian atau perbicaraan di mahkamah kecuali selepas ia diselesaikan atau ditarik balik secara rasmi.
“Oleh itu, saya berharap semua pihak dapat menyelesaikan sebarang pertikaian secara baik dan berhemah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak bagi kawasan Padeh di Rumah Aji Jeffrit Bungkang, Betong, hari ini.
Len Talif turut menyatakan bahawa kerajaan amat komited untuk mempercepatkan proses pengukuran tanah NCR supaya pemilik tanah memperoleh dokumen hak milik yang sah, sempadan yang jelas serta jaminan bahawa tanah mereka tidak akan dicerobohi.
Katanya, Program Pengukuran Tanah NCR yang diperkenalkan sejak tahun 2010 dilaksanakan dalam dua peringkat iaitu pengukuran perimeter dan pewartaan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak serta pengukuran lot individu dan pengeluaran surat hak milik di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak.
Beliau tambah menjelaskan bahawa kerja pengukuran lot individu hanya akan dijalankan selepas mendapat persetujuan penuh penuntut tanah yang terlibat selain memerlukan kawasan tersebut diwartakan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak.
“Kerjasama ketua kaum, ketua masyarakat dan pemilik tanah NCR amat penting bagi memastikan proses pengukuran berjalan lancar dan tidak mengalami kelewatan,” tegasnya.
Menurut beliau, sehingga 30 April 2026, sebanyak 110,815 lot individu telah berjaya diukur melibatkan keluasan 132,414 hektar atau 327,202 ekar di seluruh Sarawak.
Daripada jumlah itu, sebanyak 37,168 lot telah dikeluarkan surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak melibatkan keluasan 52,173 hektar atau 128,922 ekar.
Pada majlis tersebut, sebanyak 48 surat hak milik tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak diserahkan kepada 44 penerima daripada komuniti Iban di kawasan Padeh, Betong.
Beliau justeru menyatakan bahawa segala proses pengukuran tanah NCR dilaksanakan secara percuma tanpa sebarang caj kepada rakyat sebagai bukti komitmen kerajaan dalam menjaga kepentingan masyarakat Bumiputera di negeri ini.
“Kerajaan juga akan mengeluarkan surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak yang tidak dikenakan cukai tanah, dikecualikan premium serta mempunyai pegangan kekal atau perpetuity.
“Inilah komitmen dan janji kerajaan demi menjaga kepentingan rakyat untuk generasi masa kini dan akan datang,” ujarnya.
Majlis turut dihadiri Timbalan Menteri Pembangunan Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (Pembangunan Belia dan Sukan) I merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar Dato Gerald Rentap Jabu, Ahli Parlimen Betong Dato Dr Richard Rapu, Residen Bahagian Betong Datu Richard Michael Abunawas serta Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Betong Moris Nayup.