News

 

Sarawak peruntuk lebih RM30 juta setahun untuk ukur tanah NCR

Posted on 28 May 2026
Source of News: Suara Sarawak


BETONG: Kerajaan Sarawak memperuntukkan lebih RM30 juta setahun bagi kerja penyukatan tanah sebagai komitmen memastikan hak milik tanah rakyat dapat dipertahankan dan diwarisi daripada satu generasi kepada generasi seterusnya.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, pengukuran tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) peringkat pertama dilaksanakan bagi mempercepatkan penentuan sempadan tanah NCR secara jelas selain membolehkan pendaftarannya dalam daftar tanah serta Warta Rizab Komunal Bumiputera di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak (KTS).

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang itu, sejak 2010 hingga 30 April 2026, Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak berjaya melaksanakan penyukatan perimeter melibatkan keluasan kira-kira 1,233,192 hektar atau 3.047 juta ekar di seluruh Sarawak.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 966,440 hektar atau 2.38 juta ekar telah diwartakan. Bayangkan betapa luas kawasan yang berjaya disukat menerusi Program Pengukuran Tanah NCR ini.

“Selepas itu, kerja penyukatan lot individu dan pengeluaran surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 KTS sedang giat dilaksanakan dan Kerajaan Sarawak menyediakan lebih RM30 juta setahun bagi memastikan hak pemilikan tanah rakyat terus terpelihara untuk generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 KTS Kawasan Padeh di Rumah Panjang Bungkang, hari ini.

Tambah beliau, penyukatan yang dilaksanakan meliputi semua kawasan dan bahagian di seluruh Sarawak, termasuk melibatkan semua kaum bumiputera yang mempunyai hak ke atas tanah NCR.

“Asalkan mempunyai bukti yang mencukupi, sahih dan mematuhi perundangan, maka kawasan tersebut diiktiraf sebagai tanah NCR mereka,” ujarnya.

Menyentuh mengenai perniagaan karbon, Len berkata ia merupakan antara potensi baharu yang boleh dimanfaatkan menerusi tanah NCR dan pihaknya bersedia berkongsi maklumat lanjut mengenainya dalam sesi berasingan sekiranya terdapat penduduk yang berminat untuk mengetahuinya.

Pada majlis tersebut, beliau turut menyampaikan 48 Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 KTS kepada 44 penerima membabitkan tanah NCR seluas 236.69 hektar di kawasan Rumah Panjang Sungai Sibau, Bungkang dan Gawis, Padeh, Betong.



image Polls
image Announcement