SARIKEI: Projek jalan ‘Missing Link’ sepanjang 5.6 kilometer yang menghubungkan Nanga Bangkit, Muara Lebaan ke Jalan Sibu-Tanjung Manis akan memudahkan akses penduduk ke jalan pesisir dan jaringan lebuh raya utama di kawasan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, projek tersebut juga dijangka menjadi pemangkin baharu kepada pertumbuhan ekonomi di kawasan terbabit.
“Meskipun projek tersebut tidak melibatkan jajaran yang panjang, namun impaknya amat signifikan kerana melengkapkan rangkaian jalan raya sedia ada.
“Pembinaan jalan baharu ini membuka potensi pembangunan tanah di sepanjang laluan berkenaan, khususnya tanah hak milik yang sebelum ini sukar dimajukan disebabkan kekangan akses jalan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Cek Pampasan Tanah Projek Cadangan Missing Link di Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak (IAC) Bahagian Sarikei, hari ini.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan projek tersebut dijangka siap dalam tempoh kurang daripada 30 bulan.
“Setakat ini tiada isu timbul dan projek yang dilaksanakan menunjukkan perkembangan amat memberangsangkan.
“Pemantauan rapi oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku agensi pelaksana memberi keyakinan bahawa projek itu mampu disiapkan mengikut jadual atau lebih awal,” ujarnya.
Pada majlis sama, penyerahan pampasan tanah kepada pemilik yang terlibat turut dilaksanakan bagi memastikan kelancaran projek berkenaan.
“Sebanyak 18 cek bernilai keseluruhan RM146,986.56 diserahkan kepada 16 penerima yang terlibat dengan pengambilan tanah di sepanjang jajaran projek tersebut.
“Pembayaran pampasan itu membuktikan komitmen kerajaan dalam menjaga hak pemilik tanah selain memastikan projek pembangunan dapat diteruskan tanpa sebarang halangan,” jelasnya.
Menurut beliau, kerjasama baik penduduk setempat turut membantu mempercepatkan pelaksanaan projek supaya manfaatnya dapat dinikmati masyarakat secepat mungkin.
Turut hadir Timbalan Residen Bahagian Sarikei, Badjuri Bidin dan wakil JKR Bahagian Sarikei, Sr Awan Amal.