News

 

214 Penjawat Awam Terima Pingat Perkhidmatan Setia

Posted on 22 May 2026
Source of News: Suara Sarawak

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyematkan pingat kepada Timbalan Residen Bahagian Bintulu, Abang Zainuddin Abang Turkey. Foto: UKAS

BINTULU: Seramai 214 penjawat awam di bahagian ini menerima Pingat Perkhidmatan Setia dalam satu majlis penghargaan yang berlangsung di Hotel Imperial, di sini hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Majlis tersebut merupakan penganjuran kali keempat untuk tahun ini, mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam menghargai sumbangan penjawat awam.

Penerima anugerah terdiri daripada kakitangan 10 jabatan dan agensi Kerajaan Sarawak serta Persekutuan, sekali gus mencerminkan penglibatan menyeluruh pelbagai sektor dalam perkhidmatan awam.

Senarai penerima didahului oleh Timbalan Residen Bahagian Bintulu, Abang Zainuddin Abang Turkey yang telah menabur bakti selama 30 tahun dalam perkhidmatan awam.

Selain itu, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak mencatat jumlah penerima tertinggi iaitu seramai 73 orang, diikuti Lembaga Kemajuan Bintulu (48), Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (38), Jabatan Hutan Sarawak (24) serta Pejabat Residen Bahagian Bintulu (10).

Turut tersenarai ialah Jabatan Pertanian Sarawak dengan tujuh penerima, diikuti Jabatan Kastam Diraja Malaysia Sarawak (enam), Jabatan Tanah dan Survei Sarawak serta Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak (masing-masing tiga) dan Jabatan Kerja Raya Sarawak (dua).

Majlis turut dihadiri Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar; Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom; Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Majang Renggi serta ketua-ketua jabatan.

Penerima Pingat Perkhidmatan Setia bergambar kenangan selepas majlis. Foto: UKAS



image Polls
image Announcement