News

 

Landas Sarawak pertahan kejuaraan Piala TYT Sabah

Posted on 18 May 2026
Source of News: Suara Sarawak

 
KAMI JUARA... Para pekayuh Landas Sarawak merakam gambar kenangan selepas majlis penyampaian hadiah.

SABAH: Pasukan Landas Sarawak mencipta kejutan apabila muncul juara pada Perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa Sabah FCAS Edisi Ke-11 (Piala TYT Sabah) 2026.

Sekali gus mempertahankan gelaran juara bagi kategori tersebut yang dimenangi musim lalu.

Acara akhir yang berlangsung di Likas Bay, Kota Kinabalu pagi tadi menyaksikan kelab handalan dari Sarawak itu mendominasi kategori tumpuan jarak 800 meter menerusi catatan masa terpantas 3 minit 43.41 saat.

Mengatasi dua pencabar terdekat iaitu Lautan Biru DBT Tuaran Sabah di tempat kedua dengan catatan masa 3 minit 44.91 saat dan Asuk Hill DBT di tempat ketiga dengan catatan masa 3 minit 45.09 saat.

Kejayaan itu membolehkan para pekayuh Landas Sarawak merangkul piala berprestij Piala TYT Sabah, wang tunai RM10,000 dan pingat.

Setiausaha Kelab Landas, Muhammad Nurul Firdaus Ali nyata gembira dengan kejayaan yang diperoleh pasukan terbabit.

“Syabas dan tahniah kepada para pekayuh serta semua pegawai terlibat kerana berjaya memastikan Landas Sarawak muncul juara edisi kali ini sekali gus mempertahankan gelaran yang pernah dimenangi tahun lalu.

“Kejayaan ini cukup manis dan bermakna bagi kami musim ini. Kerja keras semua telah membuahkan kejayaan yang cukup signifikan,” ujar Nurul kepada Arena Suara Sarawak.

Beliau mengakui para pekayuh menerima tentangan sengit daripada pesaing pada perlumbaan akhir tersebut.

“Memang tekanan diterima daripada pesaing terdekat cukup hebat.

“Bagaimanapun, kayuhan bertenaga dipamerkan para pekayuh pada 50 meter terakhir memastikan gelaran juara menjadi milik Landas Sarawak,” katanya.



image Polls
image Announcement